Tebal muka minta beras, barang dapur

Busrah bersama suaminya, Rosli serta anak-anaknya yang hidup serba kekurangan di sebuah rumah sewa di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.
Busrah bersama suaminya, Rosli serta anak-anaknya yang hidup serba kekurangan di sebuah rumah sewa di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gara-gara terputus bekalan makanan sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebuah keluarga di Kampung Melayu Majidee di sini terpaksa tebalkan muka meminta beras dan barang dapur dengan jiran berdekatan.

Kesempitan hidup dilalui Busrah Mohd Said, 38, dan suaminya, Rosli Jaafar, 40, memaksa mereka bertindak demikian demi kelangsungan hidup membesarkan empat anak serta seorang cucu berusia antara empat hingga 17 tahun di sebuah rumah sewa yang daif serta serba kekurangan.

"Kami pernah ketuk pintu rumah jiran meminta beras dan barang dapur setelah bekalan untuk kami makan habis.

"Saya terpaksa lakukan begitu biarpun terpaksa tebal muka, bukan kami mahu tapi saya terpaksa.

"Kami tidak meminta lebih asalkan anak-anak yang kecil dapat makan, kami makan apa yang ada sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman mereka di sini hari ini.

Antara gambar-gambar yang tular di laman sosial.
Antara gambar-gambar yang tular di laman sosial.

Berkongsi lanjut kisah hidupnya, Busrah berkata, dia sekeluarga sudah tinggal di rumah berkenaan sejak lapan tahun lalu selepas berpindah dari Tawau, Sabah mencari sinar hidup baharu di Johor selepas mendirikan rumah tangga pada 2005.

Jelasnya, dia dan suaminya sebelum ini bekerja sebagai operator kilang berdekatan rumah dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,200.

Artikel Berkaitan:

"Dengan gaji yang kami dapat inilah saya bayar sewa rumah RM300 sebulan, bil air dan api, selebihnya belanja barang dapur tapi lepas kita kena PKP sejak 18 Mac lagi, saya dan suami tidak dapat bekerja, pendapatan kami pun sudah tidak ada.

"Bekerja kontrak macam itulah, kalau kerja adalah duit kalau tidak kerja tidak adalah," luahnya sayu.

Sementara itu, Busrah nyata terkejut selepas kisah kesempitan hidup mereka sekeluarga tular di media sosial Facebook sehingga mendapat perhatian netizen yang rata-rata meluahkan simpati.

Katanya, selepas dua keping gambar menunjukkan keadaan rumah yang serba daif itu tular, orang ramai serta sukarelawan tampil bertanya khabar selain menghulurkan bantuan termasuk wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Terima kasih banyak-banyak mereka yang datang jenguk kami, syukurlah orang kita ramai prihatin datang beri sumbangan wang tunai serta barang keperluan harian.

"Saya juga syukur sebab duit Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini pun kami dapat, dapatlah buat belanja," katanya.

Busrah berkata, dia juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang ikhlas membantu meringankan beban hidup mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Busrah di talian 011-64230390 atau terus salur melalui akaun bank RHB miliknya bernombor 15114200105393.