Henti filem buli bukan jalan penyelesaian

SHAH ALAM - Menghentikan penerbitan filem atau drama memaparkan isu buli bukan jalan penyelesaian, sebaliknya karya itu turut berperanan sebagai medium kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali Zed Zaidi berkata, setiap karya yang diterbitkan perlu melalui proses penapisan sebelum ditayangkan kepada umum.
Menurutnya, jalan cerita memaparkan perlakuan negatif juga boleh menunjukkan kesan dan hukuman terhadap perbuatan itu sebagai pengajaran kepada penonton.
“Bagi saya, perkara itu bukan alasan untuk kita menghentikan filem memaparkan isu buli kerana setiap filem mempunyai hukuman dan pengajaran tersendiri.
“Dalam setiap naratif, apabila sesuatu perbuatan jahat berlaku, pada penghujungnya hukuman akan dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu dan perkara tersebut menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta segala bentuk drama atau filem yang secara tidak langsung mempromosikan budaya buli dihentikan kerana dikhuatiri mencetuskan perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda.
Katanya, menghentikan karya itu secara keseluruhan juga secara tidak langsung boleh menafikan ruang kepada penggiat industri untuk menggunakan kreativiti dalam menyampaikan mesej berkaitan isu buli.
“Jika mahu memaparkan isu buli dengan cara yang berbeza dan tidak terlalu ganas, pembikin filem mempunyai pelbagai pendekatan kerana itu adalah sebahagian daripada kreativiti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan pengaruh permainan video dan media sosial terhadap golongan muda juga perlu diberi perhatian, khususnya dalam persekitaran digital yang membolehkan pelbagai kandungan diakses tanpa sempadan.
“Jadi, jangan salahkan filem sepenuhnya kerana perkara ini juga berkait dengan cara media sosial digunakan,” katanya.
“Permainan video wajar diberi perhatian kerana ada kandungan memaparkan unsur keganasan tanpa menunjukkan akibat atau hukuman seperti lazimnya dalam filem.
“Dalam permainan video, kadangkala tiada pengajaran seperti dalam filem kerana apabila watak melakukan pembunuhan, permainan itu hanya meneruskan aksi tersebut tanpa menunjukkan hukuman atau akibat daripada perbuatan itu,” katanya.
Zed Zaidi berkata, penggunaan telefon pintar dan permainan video secara berlebihan juga boleh mempengaruhi rutin kehidupan golongan muda sehingga mengurangkan interaksi mereka dengan persekitaran fizikal.
“Dulu kita pergi bermain di taman dan berjumpa dengan kawan-kawan, tetapi sekarang permainan video dan telefon bimbit terlalu dekat dengan kehidupan anak-anak sehingga boleh mempengaruhi tingkah laku mereka,” katanya.
Menurutnya, filem berperanan menyampaikan mesej bahawa setiap perbuatan salah mempunyai akibat, sekali gus membantu penonton memahami kesan tindakan mereka.
“Filem menunjukkan sesuatu perbuatan itu salah dan apabila watak berubah menjadi baik, ia secara tidak langsung memberi pengajaran bahawa setiap perbuatan ada akibatnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
