'Tun Dr Hasmah seperti ibu' - Chong Wei

PUTRAJAYA – “Beliau macam ibu kita.”
Demikian luahan jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei ketika mengenang Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang disifatkannya sebagai insan yang sentiasa mengambil berat dan memberi sokongan kepada atlet negara tanpa mengira menang atau kalah.
Chong Wei berkata, isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak pernah melupakan atlet termasuk dirinya, malah sentiasa berhubung dan mengirim ucapan pada setiap sambutan Tahun Baharu Cina.
“Tak kisah saya menang atau kalah dia mesej (beri semangat),” katanya ketika hadir menziarahi pusara Allahyarham di Pusara Negara, Presint 20, di sini pada Khamis.
Menurut Chong Wei, keprihatinan Dr Hasmah bukan sekadar terhadapnya malah dirasai oleh ramai atlet yang lain.
Dr Hasmah meninggal dunia pada jam 9.20 pagi, Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.
Kerajaan memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan kepada Allahyarham sebelum jenazah disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari sama.
Mengimbau kenangan terakhir bersama tokoh disegani itu, Chong Wei berkata, mereka saling berhubung pada Januari lalu sempena Malaysia Open.
Ujarnya, Dr Hasmah menyatakan hasrat untuk hadir menyaksikan pertandingan badminton tersebut.
"Saya cakap akan tunggu beliau. Tetapi Tun maklumkan tidak dapat hadir kerana kurang sihat namun saya terkejut akhirnya beliau hadir dan memberi sokongan terhadap pasukan Malaysia," jelas beliau.
Terdahulu, Chong Wei bersama isteri, Datin Seri Wong Mei Choo meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi pusara bagi memberi penghormatan terakhir kepada Dr Hasmah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

