Tak setuju suami jual barang kemas, wanita reka cerita rumah dipecah masuk

Siasatan awal polis mendapati tiada petunjuk lazim yang biasanya dikaitkan dengan kejadian pecah masuk.
Siasatan awal polis mendapati tiada petunjuk lazim yang biasanya dikaitkan dengan kejadian pecah masuk.
A
A
A

DIGHI - Seorang wanita berusia 32 tahun didakwa mereka-reka cerita rumah sewanya di sini dipecah masuk bagi menghalang suaminya menjual barang perhiasan emas dan perak milik keluarga untuk membeli rumah.

Menurut polis Pimpri Chinchwad, kejadian itu pada awalnya dilaporkan oleh suaminya yang berusia 37 tahun dan juga bekas anggota tentera.

Suaminya mendakwa barang perhiasan keluarga hilang dari rumah ketika mereka keluar untuk menghadiri upacara perarakan dan perendaman patung Ganesh kira-kira jam 3 petang pada 25 September.

Keadaan di rumah juga pada awalnya seolah-olah menyokong dakwaan berkenaan apabila pintu didapati tidak berkunci, manakala pakaian dari dalam almari berselerak dan barang kemas dilaporkan hilang.

Susulan laporan itu, satu kes didaftarkan di Balai Polis Dighi mengikut peruntukan berkaitan di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS), sebelum Unit 3 Cawangan Jenayah menjalankan siasatan.

Namun, siasatan awal mendapati tiada petunjuk lazim yang biasanya dikaitkan dengan kejadian pecah masuk.

Seorang pegawai Cawangan Jenayah berkata, polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan dan menjalankan analisis teknikal terhadap data telefon bimbit, namun tidak menemukan bukti menunjukkan orang luar memasuki atau meninggalkan bangunan ketika kejadian didakwa berlaku.

“Selain itu, kami bercakap dengan penduduk bangunan dan meneliti urutan kejadian ketika keluarga berkenaan tiada di rumah.

“Apabila siasatan diteruskan, beberapa keadaan mula menimbulkan persoalan dan kami kemudian menyoal wanita itu dengan lebih terperinci,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut polis, wanita berkenaan akhirnya mengaku selepas tekanan susulan siasatan.

Wanita itu didakwa memberitahu bahawa dia tidak mahu barang perhiasan, emas dan perak keluarga tersebut dijual bagi tujuan membeli rumah.

Keluarga berkenaan tinggal di sebuah pangsapuri sewa dan menurut polis, suaminya merancang menjual barang kemas itu untuk membeli rumah baharu.

Polis berkata, ketika ahli keluarga keluar menghadiri upacara Ganpati Visarjan, wanita terbabit kembali ke rumah sebelum membiarkan pintu terbuka dan menyelerakkan pakaian bagi mewujudkan gambaran seolah-olah rumah berkenaan telah digeledah pencuri.

Dia kemudian menyembunyikan barang kemas emas dan perak itu di dalam rumah.

Barang kemas bernilai kira- kira RM 65,000 kemudian ditemukan semula dengan kehadiran saksi.

Polis berkata, barang kemas berkenaan berjaya ditemui dalam tempoh kira-kira 12 jam selepas laporan kejadian pecah masuk dibuat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!