Kisah sebiji jering berharga seringgit

MENYERTAI Ehsan Unity Hunt 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama Rosli, Ucop dan Liza baru-baru ini membawa penulis ke beberapa lokasi untuk menyelesaikan pelbagai cabaran.
Salah satunya ialah singgah di Pasar Borong Selangor untuk membeli jering. Nampak mudah. Cari jering, beli dan teruskan perjalanan.
Penulis bertanya, 'berapa harga?' dan penjual menjawab, 'seringgit sebiji'. Kami terdiam sambil berpandangan sesama sendiri. Seringgit untuk sebiji jering?
Bukanlah RM1 itu besar sangat nilainya. Tetapi sebagai anak kampung, harga itu tetap membuatkan penulis terdiam sekejap. Sebab dalam kepala masih terbayang zaman dahulu.
Jering bukan barang ‘mewah’. Malah, tidak pernah terlintas pun hendak membeli jering. Kalau di kampung, masuk kebun boleh jumpa. Kadang-kadang di tepi hutan pun ada dan kalau pokok jiran sedang lebat berbuah, tuan punya pokok pula yang mempelawa.
Tetapi itu dahulu. Hari ini, hampir semuanya ada harga. Ulam yang dahulu tumbuh di belakang rumah pun apabila sampai ke bandar sudah bertukar menjadi barang jualan.
Buah-buahan kampung yang sebelum ini dibiarkan gugur di bawah pokok pula ada yang kini dicari-cari. Begitulah zaman berubah.
Generasi muda mungkin cukup kenal durian, rambutan dan manggis, tetapi belum tentu pernah merasa buah mentega, tampoi, bacang atau kerdas.
Apabila semakin kurang ditanam dan bekalannya semakin terhad, sesuatu yang dahulu kita pandang biasa akhirnya menjadi bernilai. Justeru, usaha PKPS memelihara pelbagai tanaman nadir di Selangor Fruit Valley (SFV) wajar dilihat lebih daripada sekadar nostalgia. Yang dipelihara bukan hanya pokok, tetapi sebahagian daripada khazanah makanan dan warisan kita.
Daripada sebiji jering, fikiran penulis akhirnya melayang kepada perkara yang jauh lebih besar iaitu kos sara hidup.
Kita selalu fikir tekanan kos sara hidup datang apabila harga sesuatu barang naik RM10 atau RM20. Sebenarnya tidak. Kadang-kadang ia datang RM1 demi RM1.
Tambah RM1 untuk sarapan. RM2 untuk makan tengah hari. Beberapa ringgit lagi untuk barang dapur. Kemudian datang pula bil elektrik dan air, minyak kenderaan, tol, sewa atau ansuran rumah, yuran dan keperluan sekolah anak.
Satu-satu nampak kecil. Campur semuanya, baru terasa. Sebab itu bagi sesetengah keluarga, beza RM5 ketika membeli barang dapur pun cukup bermakna.
Itulah realiti kos sara hidup. Ia bukan semata-mata angka dalam laporan ekonomi atau peratusan yang disebut dalam pembentangan rasmi. Ia tentang baki dalam akaun selepas gaji masuk dan berapa yang masih tinggal sebelum gaji seterusnya.
Tidak lama lagi, perhatian rakyat akan beralih kepada pembentangan Belanjawan 2027. Seperti biasa, akan ada angka besar. Berbilion-bilion ringgit. Pelbagai peruntukan, bantuan dan inisiatif akan diumumkan.
Namun bagi rakyat biasa, persoalannya mungkin jauh lebih mudah. Bila pergi pasar nanti, duit yang sama masih boleh beli sebanyak mana? Kerana akhirnya, rakyat tidak hidup dengan angka berbilion-bilion di atas kertas.
Rakyat hidup dengan RM50 di pasar raya, RM20 di kedai makan dan beberapa ringgit yang perlu dicukupkan sehingga hujung bulan.
Jadi apabila Belanjawan 2027 dibentangkan nanti, mungkin rakyat tidak meminta seringgit kembali mampu membeli macam-macam. Cukuplah kalau RM1 yang ada dalam poket tidak semakin hilang nilainya.
*Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
