Talian atas terputus: Perkhidmatan ETS, KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang terjejas

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan tren penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan sejak 6.24 pagi Rabu, susulan kejadian Alat Talian Atas (ATA) 25 kV terputus di KM 434.423, antara Stesen Batang Benar dan Stesen Labu.
KTMB memaklumkan pemeriksaan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada 'animal bridging' iaitu keadaan apabila haiwan menjadi penghubung antara talian elektrik hidup (live wire) dengan talian bumi (earth wire).
"Keadaan tersebut telah menjejaskan bekalan kuasa bagi operasi tren di laluan berkenaan menyebabkan beberapa perkhidmatan mengalami kelewatan dan sebahagiannya terpaksa ditamatkan lebih awal bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan dilaksanakan dengan selamat,” menurut kenyataan KTMB pada Rabu.
Menurut KTMB, gangguan berkenaan menjejaskan operasi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves.
Berikutan insiden itu, KTMB memaklumkan beberapa pelarasan operasi telah dilaksanakan termasuk melibatkan perkhidmatan ETS bagi tren EP9532 dari JB Sentral ke KL Sentral, dengan tren akan tamat di Stesen Seremban dan penumpang menaiki bas ke KL Sentral dan stesen perantara.
Bagi tren EP9523 dari KL Sentral ke JB Sentral pula, penumpang akan dibawa ke Stesen Seremban dengan menaiki bas dan menyambung perjalanan ke destinasi.
KTMB memaklumkan bas perantara turut disediakan di KL Sentral, Bandar Tasik Selatan dan Kajang untuk membawa penumpang ke Stesen Seremban sebelum mereka meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan ETS.
Bagi KTM Komuter, perkhidmatan tren No 2008 dari Pulau Sebang ke Batu Caves ditamatkan di Stesen Seremban, manakala tren No 2006 dari Pulau Sebang ke Batu Caves ditamatkan di Stesen Labu dan berpatah balik ke Stesen Seremban.
Penumpang digalakkan menggunakan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan.
Sementara itu, bagi tren No 2012 dan 2014 dari Pulau Sebang ke Batu Caves, dua set komuter telah digerakkan ke Stesen Kajang dan Bangi bagi mengambil penumpang dari stesen berkenaan dan menuju ke stesen-stesen antaranya hingga Stesen Batu Caves.
Bagi penumpang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat gangguan tersebut, pemulangan tambang penuh diberikan tertakluk kepada prosedur yang berkuat kuasa.
Menurut KTMB, pasukan teknikal sedang giat menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemulihan di lokasi kejadian bagi membolehkan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa dalam keadaan segera, dengan tempoh masa baik pulih dianggarkan tiga jam.
KTMB memohon maaf atas segala kesulitan dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan.
Pengguna juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan, mendapatkan maklumat terkini melalui saluran dan media sosial rasmi serta kakitangan stesen yang bertugas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
