21 sekolah jadi pusat pemindahan

Idris
Idris
A
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 21 buah sekolah di daerah ini sentiasa bersedia untuk menempatkan mangsa banjir selagi musim tengkujuh belum berakhir sepenuhnya.

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, bilik-bilik khas disediakan kepada mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku pada hari bersekolah.

Menurutnya, proses pembelajaran tidak akan terganggu sekiranya bencana itu berlaku pada hari bersekolah.

“Begitu juga jika berlaku banjir kilat contohnya seperti di kawasan Kemasik, kita gunakan asrama lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah untuk menempatkan mangsa.

“Dulu bangunan itu menempatkan pelajar tapi apabila bangunan asrama baharu disiapkan Kementerian Pendidikan, bangunan lama itu kita jadikan pusat pemindahan banjir dan pada bila-bila masa sahaja boleh menerima kemasukan mangsa banjir termasuk mangsa banjir kilat,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, beberapa keluarga yang menjadi mangsa banjir kilat di kawasan Rumah Murah Kemas berpindah ke sekolah berkenaan.

Selagi musim tengkujuh belum berakhir, Idris berkata, sekolah di daerah ini terutama yang biasa berdepan banjir sentiasa berjaga-jaga.

“Sudah menjadi amalan pihak sekolah menyimpan aset dan harta benda sekolah di tempat selamat menjelang tibanya musim tengkujuh dan ia dilakukan sebelum Disember lalu lagi.

Artikel Berkaitan:

“Kemungkinan awal bulan depan selepas kita jangkakan banjir tidak berlaku baharulah peralatan diturunkan untuk aktiviti seharian,” katanya.

Katanya, sekolah-sekolah di Kemaman juga pernah berdepan situasi banjir di luar jangkaan tetapi komitmen yang diberikan pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru dan komuniti setempat sangat tinggi dan beramai-ramai membantu menyelamatkan harta benda sekolah dan menyimpannya di tempat selamat.

“Kalau tengok situasi itu memang meletihkan tapi bagi sekolah yang biasa berdepan bencana itu, ia jadi pengalaman biasa dan semangat mereka memang luar biasa,” katanya.