Penuh sifat keibuan, buat Tun Hasmah mudah didekati – Umie Aida

SHAH ALAM - Sifat keibuan dan penyayang yang begitu tebal dalam diri Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali merupakan antara kenangan paling diingati pelakon Datin Seri Umie Aida.
Umie Aida berkata, karakter Allahyarham yang mudah mesra itu menyebabkan beliau disenangi dan mudah didekati sesiapa sahaja, termasuk individu yang baru pertama kali bertemu dengannya.
Menurutnya, Allahyarham sentiasa menunjukkan sifat prihatin dan ikhlas terhadap orang di sekeliling tanpa mengira latar belakang.
“Secara ringkas, saya boleh katakan karakter Tun seorang yang rendah diri, isteri yang taat dan ibu yang penyayang.
“Kalau kita kenal Tun, sesiapa sahaja yang baharu bertemu dengannya akan mudah mesra kerana sifat penyayang dan keibuan beliau terlalu tebal.
“Sebab itulah karakter Tun disayangi. Saya masih ingat ketika mula-mula berjumpa dengan Tun di Istana Budaya, saya gementar tetapi Tun membuat suasana ketika itu menjadi lebih natural,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Umie Aida, sifat Allahyarham sebagai seorang isteri yang taat kepada suami turut dikagumi, malah kedudukan dan status yang dimiliki tidak pernah mengubah peribadi beliau.
Jelasnya, Tun Hasmah tidak akan mendahului suaminya dalam apa sahaja perkara, sama ada ketika makan mahupun membuat keputusan.
Umie Aida berkata, rakyat Malaysia juga wajar bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mengenali dan berkongsi kehidupan bersama Allahyarham yang disifatkannya sebagai permata negara.
“Sekarang ini yang paling merasai kehilangan Tun adalah anak dan cucunya. Jadi pada saya kita patut mengucapkan terima kasih kepada keluarga Tun kerana mengizinkan kita meminjam masa beliau.
"Semoga keluarga Tun diberi kekuatan terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamed.
"Hari ini, kami rakyat Malaysia belajar untuk reda melepaskan sebuah kehilangan yang tiada tolok bandingnya. Permata yang pergi ini tidak mungkin ada gantinya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

