Hilang sejak Rabu, wanita Orang Asli ditemukan meninggal dunia dalam paya

ROMPIN - Wanita warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu ditemukan meninggal dunia di kawasan paya Kampung Lesong, Kedaik, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Kuang Poh,73 ditemukan jam 11.50 pagi oleh pasukan penyelamat di lokasi kira-kira 500 meter dari kawasan rumahnya.
Menurutnya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar kira-kira jam 1.05 tengah hari.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rompin untuk proses bedah siasat," katanya.
Wanita warga emas itu dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Lesong, Kedaik, di sini selepas keluar memancing di kawasan hutan paya di kampung terbabit sejak Rabu minggu lalu.
Mangsa dikatakan keluar rumah sendirian kira-kira jam 3 petang pada Rabu dan disedari hilang selepas tidak pulang ke rumahnya pada hari berkenaan.
Kehilangannya dilaporkan kepada polis oleh ahli keluarga sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Sementara itu, Sharif Shai berkata, operasi SAR hari keenam disambung jam 8 pagi dengan kekuatan 43 pegawai dan anggota terdiri dari Pasukan Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan orang kampung.
Katanya, kawasan pencarian diperluas ke kawasan hutan berhampiran dibantu Unit Dron dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan JBPM Pahang serta Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Pahang.
"Pencarian turut dilakukan di beberapa lokasi tumpuan dalam radius lima kilometer sebelum mayat mangsa ditemui," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

