Lelaki warga asing ceroboh rumah, cederakan dua beradik

Seorang lelaki warga asing bertindak memecah masuk sebuah rumah sebelum mencederakan dua beradik dalam kejadian di Taman Sri Bintang, Kepong
Seorang lelaki warga asing bertindak memecah masuk sebuah rumah sebelum mencederakan dua beradik dalam kejadian di Taman Sri Bintang, Kepong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara cemburu, seorang lelaki warga asing bertindak memecah masuk sebuah rumah sebelum mencederakan dua beradik dalam kejadian di Taman Sri Bintang, Kepong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan MERS999 daripada orang awam memaklumkan kejadian itu pada jam kira-kira 5.04 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah berkenaan.

"Dua mangsa, masing-masing berumur 18 dan 21 tahun yang merupakan warga tempatan dipercayai mengalami kecederaan sebelum mereka ditemui bersembunyi di dalam tandas di bilik bawah rumah.

"Polis kemudian naik ke tingkat atas dan mendapati suspek warga asing berada di dalam sebuah bilik sambil memegang sebilah pisau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Anuar Bakri berkata, polis berjaya menangkap suspek dan merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa dan suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat tikaman.

"Kesemua mereka kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cemburu terhadap salah seorang mangsa yang dipercayai kembali berhubung dengan bekas teman lelakinya.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!