'Kenapa kamu datang sini?' - PM Thailand dimarahi mangsa banjir

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berdepan detik tegang apabila dimarahi seorang penduduk ketika melakukan lawatan bertemu mangsa banjir di sebuah kawasan perumahan di Bangkok.
Kejadian berlaku ketika Anutin menaiki bot bersama rombongan kerajaan untuk meninjau keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir.
Ketika botnya bergerak lebih jauh memasuki kawasan perumahan, beberapa penduduk dilaporkan memanggil Perdana Menteri supaya datang menemui mereka.
Seorang lelaki yang tidak dikenal pasti kemudian menghampiri Anutin dan secara terbuka mempersoalkan kehadirannya.
“Kenapa kamu datang ke sini?” soal lelaki tersebut dengan nada marah.
Seorang pegawai yang bersama Anutin segera menjawab bahawa rombongan berkenaan datang membawa bekalan air.
Pegawai itu turut dilihat meletakkan lengannya di antara Anutin dengan lelaki terbabit ketika situasi menjadi tegang.
Beberapa penduduk lain pula dilaporkan berada di balkoni kediaman masing-masing dan melaungkan sesuatu ke arah Perdana Menteri ketika beliau meninggalkan kawasan tersebut.
Insiden itu berlaku ketika penduduk Thailand berdepan tekanan kos sara hidup, selain terdapat rungutan mengenai bantuan makanan yang tidak mencukupi kepada mangsa banjir.
Tinjauan Jabatan Kesihatan Thailand terhadap 941 responden pada Julai menunjukkan 63.76 peratus mengakui kenaikan harga makanan menyukarkan mereka mendapatkan makanan berkhasiat.
Sebanyak 64.82 peratus memilih membeli makanan lebih murah atau barangan diskaun, manakala 32.83 peratus terpaksa mengurangkan jumlah hidangan atau makan lebih sedikit.
Kenaikan kos bahan api, pengangkutan dan barangan keperluan turut menambahkan tekanan terhadap kewangan isi rumah.
Bank Pusat Thailand sebelum ini turut menyifatkan pertumbuhan ekonomi negara itu sebagai rendah dan tidak sekata ketika pendapatan isi rumah berkembang perlahan dan kos kehidupan kekal tinggi.
Keadaan tersebut menyebabkan tekanan ekonomi semakin dirasai golongan berpendapatan rendah, khususnya ketika bencana banjir menjejaskan kehidupan harian mereka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

