NASA umum dua misi baharu guna kapal angkasa Starliner

WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada Isnin mengumumkan perancangan untuk melaksanakan dua misi baharu menggunakan kapal angkasa Starliner milik Boieng.
Starliner kali terakhir digunakan pada Jun 2024 untuk membawa angkasawan Amerika Syarikat (AS), Suni Williams dan Butch Wilmore ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi misi yang pada asalnya dijadualkan berlangsung antara lapan hingga 14 hari.
Bagaimanapun, sistem dorongan kapal angkasa itu mengalami masalah ketika berada di orbit dan didapati tidak selamat untuk membawa mereka pulang.
Ini menyebabkan kedua-dua angkasawan itu terkandas di ISS kira-kira sembilan bulan sebelum berjaya kembali ke bumi.
Berdasarkan laporan yang menilai penerbangan ujian bermasalah itu, NASA menyalahkan kelemahan kejuruteraan pada Starliner dan mengklasifikasikannya sebagai kemalangan 'Jenis A' iaitu kategori sama dengan bencana maut kapal angkasa ulang-alik Challenger dan Columbia.
Pentadbir NASA, Jared Isaacman berkata, Boeing dan NASA telah bekerjasama untuk menyelesaikan masalah berkenaan bagi membolehkan dua misi akan datang menggunakan kapal angkasa itu memainkan peranan penting dalam matlamat jangka panjang agensi angkasa berkenaan.
"Misi pertama yang dijangka dilaksanakan seawal Disember merupakan misi tanpa kru ke ISS bagi mengesahkan usaha penambahbaikan yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Selepas itu, kami akan mengumpulkan data, meneruskan pelaksanaan perubahan yang masih berbaki sepertimana disyorkan dalam laporan Pasukan Siasatan Program selain merancang misi Starliner Two pada 2028,” katanya kepada pemberita.
Kejayaan misi Starliner yang membawa angkasawan disifatkan penting kerana pesaingnya, SpaceX sebelum ini menyatakan rancangan untuk menghentikan pengeluaran kapsul boleh guna semula, Crew Dragon.
Kapsul tersebut antara kapal angkasa yang digunakan untuk membawa angkasawan AS ke ISS sejak 2020. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
