Tun Dr Hasmah sentiasa lemah lembut, baik hati - Pengerusi Eksekutif YTL Corp

Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara, pagi Isnin. Foto Bernama
Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara, pagi Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Eksekutif YTL Corp Group, Tan Sri Francis Yeoh menyifatkan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang insan yang sentiasa lemah lembut dan baik hati.

"Saya dan keluarga sedih atas pemergian Dr Hasmah sepertimana ramai rakyat Malaysia yang turut merasakan kehilangan ini.

"Beliau sering bertanya khabar mengenai ibu saya. Keluarga saya akan sentiasa mengenang keikhlasan dan keprihatinan beliau,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau turut mengenang kecintaan Allahyarham terhadap muzik, malah menyifatkan beliau sebagai seorang pemuzik yang berbakat.

Francis berkata, keluarganya amat menghargai jemputan Allahyarham ke rumah untuk menikmati makan malam, yang kemudiannya diteruskan dengan sesi nyanyian.

Menurutnya, antara kenangan paling berharga ialah ketika menyanyikan lagu 'It’s a Sin to Tell a Lie' bersama-sama Dr Hasmah dan suami Allahyarham iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Lagu itu merupakan lagu kegemaran Dr Mahathir.

Francis berkata, ketabahan dan keperibadian mulia Allahyarham akan terus terpahat dalam hati mereka yang mengenalinya.

"Kami akan merindui beliau. Semoga Tuhan mengurniakan ketabahan kepada Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga dalam menghadapi saat pilu ini,” kata Francis.

Sementara itu, GXBank menerusi hantaran di  LinkedIn menyifatkan Dr Hasmah sebagai tokoh yang amat berharga kepada negara, dengan perjalanan hidup Allahyarham selama satu abad meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan rakyat di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham merupakan seorang perintis dalam pelbagai bidang selain menjadi contoh yang memperlihatkan erti keanggunan, ketabahan dan kekuatan kepada wanita Malaysia.

"Didorong oleh kecintaan terhadap ilmu sepanjang hayatnya, Dr Hasmah mencipta sejarah sebagai antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini, sekali gus meletakkan asas penting dalam bidang kesihatan awam, kesejahteraan ibu serta perubatan luar bandar.

"Kehadiran beliau membawa ketenangan, rasa dihargai dan semangat perpaduan kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kekuatan yang ditunjukkan beliau melalui sifat lemah lembutnya terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang,” menurutnya.

Bursa Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Dr Hasmah dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh negara yang telah menyentuh kehidupan ramai dan menjadi inspirasi kepada pelbagai generasi.

"Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” menurutnya dalam hantaran di laman X.

Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!