Pemberi maklumat kartel akan dapat perlindungan, ganjaran - MyCC

Iskandar Ismail ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Pemerkasaan Ekosistem dan Hak Pengguna Melalui Pindaan Akta 712 dan 713' di Wisma Bernama pada Isnin. Foto Bernama
Iskandar Ismail ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk 'Pemerkasaan Ekosistem dan Hak Pengguna Melalui Pindaan Akta 712 dan 713' di Wisma Bernama pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memperkukuh perlindungan serta menyediakan ganjaran kepada pemberi maklumat yang tampil mendedahkan kegiatan kartel atau amalan penipuan bidaan susulan pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713].

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, perlindungan itu penting kerana kegiatan kartel lazimnya berlaku secara sulit dan di belakang tabir, justeru kerjasama pemberi maklumat yang mempunyai kaitan dengan syarikat atau pengguna amat diperlukan.

"Sebelum ini, perlindungan memang ada namun tidak mencukupi... sekarang kami pertingkatkan lagi perlindungan selain memberi ganjaran.

"Ada pengadu yang tampil memberi maklumat sebelum ini tetapi apabila tiada ganjaran diberikan, mereka balik,” katanya dalam Program Ruang Bicara bertajuk Pemerkasaan Ekosistem Perniagaan dan Hak Pengguna melalui Pindaan Akta 712 dan 713 di Bernama TV pada Isnin.

Beliau berkata, pengadu turut berdepan risiko kehilangan pekerjaan sekiranya mendedahkan maklumat sulit syarikat sekali gus menjadi antara faktor yang menyebabkan mereka enggan tampil.

"Pengadu menyatakan dia merisikokan diri untuk datang ke MyCC namun tiada ganti rugi yang akan diberikan kepadanya jika dia kehilangan pekerjaan kerana membocorkan rahsia syarikat,” katanya.

Iskandar berkata, apabila pindaan itu diwartakan tahun ini, MyCC akan dapat memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada individu yang tampil menyalurkan maklumat.

Beliau berkata, langkah itu juga akan memudahkan orang ramai khususnya pengguna membuat aduan berkaitan amalan antipersaingan.

"Sekarang dah ada perlindungan, jadi apabila kita kuatkuasakan (pindaan) ini dalam tahun ini, mudah untuk semua orang terutama pengguna untuk membuat aduan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, kami akan terus melaksanakan program advokasi kepada pengguna pada setiap bulan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, MyCC mempelawa individu atau syarikat yang mempunyai maklumat berkaitan kartel supaya membuat aduan menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi WhatsApp.

Iskandar berkata, pindaan itu turut memperluas peranan MyCC dalam menjalankan kajian terhadap pasaran yang memberi kesan signifikan kepada rakyat termasuk ekonomi digital dan e-dagang.

Beliau berkata, Seksyen 11 Akta 712 memberikan kuasa kepada MyCC untuk menjalankan kajian pasaran berkaitan sektor berkenaan yang memberi kesan kepada pengguna.

Kerjasama dengan agensi persaingan di negara lain, katanya, turut membolehkan MyCC mendapatkan maklumat bagi memastikan pasaran domestik tidak menjadi mangsa amalan antipersaingan syarikat antarabangsa. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!