Sindiket menyamar 'Polis Jepun' tumpas

Mohd Alwi (dua dari kanan) bersama pelbagai barangan rampasan bernilai hampir RM20,000 hasil serbuan di tiga unit kediaman di sebuah kondominium di Kampar, 24 September lalu.
Mohd Alwi (dua dari kanan) bersama pelbagai barangan rampasan bernilai hampir RM20,000 hasil serbuan di tiga unit kediaman di sebuah kondominium di Kampar, 24 September lalu.
A
A
A

KAMPAR - Polis Perak menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian yang didalangi warga Jepun dan China dalam serbuan di tiga unit kediaman di sebuah kondominium, di sini pada 24 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam operasi itu, seramai 13 individu membabitkan sembilan warga Jepun dan empat lelaki warga China berusia antara 20 hingga 57 tahun, berjaya ditahan.

Menurutnya, sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak Ogos lalu menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis Jepun dengan menyasarkan mangsa dari negara tersebut.

"Ketiga-tiga premis yang diserbu ini dipercayai dijadikan pusat operasi panggilan untuk kegiatan penipuan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud.

Mohd Alwi berkata, semua individu yang ditahan dipercayai menerima bayaran secara komisen berdasarkan kejayaan penipuan yang dilakukan.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati, sebahagian daripada ahli sindiket pernah beroperasi di Kemboja sebelum memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan dan menjalankan kegiatan sama di negara ini.

"Dalam operasi ini, polis berjaya merampas pelbagai barangan termasuk dua komputer riba, 18 telefon bimbit, dua iPad, sebuah penghala internet serta tiga lencana polis Jepun.

"Turut dirampas tiga set pemegang kad berlogo dipercayai polis Jepun, tiga set pakaian lengkap termasuk blazer serta satu set skrip penipuan dalam bahasa Jepun dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesemua suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis juga akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia berhubung status kemasukan dan tempoh kebenaran tinggal semua suspek.

"Kita tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian sindiket ini di negeri lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!