[VIDEO] CEO syarikat lombong emas, Ketua Penolong Pengarah JTU Sabah tidak mengaku salah rasuah

A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perlombongan emas dan seorang Ketua Penolong Pengarah jabatan kerajaan masing-masing tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan berkaitan rasuah.

Tze Khen (kiri) bersama peguamnya, Ram ketika hadir ke Mahkamah Kota Kinabalu.
Tze Khen (kiri) bersama peguamnya, Ram ketika hadir ke Mahkamah Kota Kinabalu.

Kedua-dua tertuduh, Chong Tze Khen, 69, dan Robert Robin Millip, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Tze Khen berdepan tiga pertuduhan memberi suapan dalam bentuk pinjaman tunai berjumlah keseluruhan RM18,000 kepada Robert, yang ketika itu merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Tze Khen didakwa memberikan RM10,000 kepada Robert di sebuah restoran di Kota Kinabalu sekitar April 2024.

Dia kemudian didakwa memberikan RM3,000 sekitar Oktober 2024 bagi pertuduhan kedua, manakala pertuduhan ketiga membabitkan pemberian RM5,000 di sebuah kedai di Kota Kinabalu sekitar Oktober 2025.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan pertama terhadap Robert yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian JTU Sabah, dia didakwa memperoleh suapan dalam bentuk pinjaman tunai berjumlah RM10,000 daripada Tze Khen sekitar April 2024 di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, Robert didakwa memperoleh suapan dalam bentuk pinjaman tunai berjumlah RM3,000 dan RM5,000 daripada Tze Khen di sebuah kedai kopi di Kota Kinabalu, masing-masing sekitar Oktober 2024 dan Oktober 2025.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom dalam hujahannya mencadangkan supaya kedua-dua tertuduh diberikan jaminan RM10,000 setiap seorang bersama dua penjamin tempatan selain diwajibkan melaporkan diri kepada pihak SPRM.

Selain itu, pasport kedua-dua tertuduh diminta diserahkan kepada mahkamah dan mereka tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.

Bagaimanapun, dalam hujahan pihak pembelaan yang diwakili Datuk Ram Singh, beliau meminta supaya wang jaminan Robert dikurangkan sebanyak RM5,000, manakala bagi Tze Khen pula, beliau memohon supaya pasport tertuduh dibenarkan untuk digunakan bagi menghadiri konvokesyen anaknya di Perth, Australia pada Oktober depan.

Sehubungan itu, dalam penghakimannya, Andi Razalijaya memutuskan kedua-dua tertuduh masing-masing membayar jaminan sebanyak RM8,000 berserta dua penjamin tempatan.

Selain itu, kedua-duanya diarahkan melaporkan diri ke pejabat SPRM yang berhampiran dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Tze Khen diminta membuat permohonan berhubung kebenaran untuk ke luar negara.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh turut diwakili tiga lagi peguam, iaitu Prem Elmer Ganasan, Jason Chin dan Beverly Ivy.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!