Lumba haram: 57 individu termasuk remaja 15 tahun dicekup

ISKANDAR PUTERI - Seramai 57 individu termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan lumba haram dan aksi berbahaya di sekitar Plaza Tol Lima Kedai, di sini, malam Ahad.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 52 lelaki dan lima perempuan berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman pengguna jalan raya.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, polis melakukan pemeriksaan terhadap 46 motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit.
“Sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor turut mengeluarkan 106 notis atas pelbagai kesalahan.
“Dalam operasi sama, sebanyak 43 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil sebagai langkah penguatkuasaan terhadap penunggang yang melakukan kesalahan serta terbabit dalam kegiatan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan di daerah Iskandar Puteri.
“Terutama kegiatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Iskandar Puteri sentiasa terpelihara,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

