Tukang masak restoran sushi tidak mengaku pecah amanah RM19,361

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
A
A
A

GEORGE TOWN- Seorang tukang masak restoran sushi dihadapkan ke mahkamah berasingan di atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai RM19,361 Februari dan Julai lalu.

Ong Kah Meng, 45 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah yang diamanahkan kepadanya iaitu wang tunai RM9,603.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Wako Sushi Omakase di Gat Lebuh Acheh pada jam 3 petang, 24 Julai lalu.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua kes.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong manakala tertuduh tidak diwakli peguam.

Jung Keong menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan berikutan mempunyai tanggungan iaitu ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

Hakim Irwan Suainbon kemudiannya menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.

Sementara di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh didakwa melakukan tiga kesalahan sama dengan melibatkan wang RM9,758.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pecah amanah melibatkan wang RM1,601, RM7,057 dan RM1,100.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada jam 3.49 petang, 12 Februari bagi pertuduhan pertama, 4.52 petang, 4 Julai (kedua) dan 10 malam, 23 Julai (pertuduhan ketiga).

Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan RM45,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Anuarul juga memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap 1 haribulan setiap bulan di balai polis terdekat serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim Juraidah Abbas kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Beliau turut membenarkan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.

Kesemua kes ditangguh sehingga 27 Oktober depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!