Greece beri kekalahan pertama Klopp

DIMITRIOS Kourbelis muncul wira Greece apabila jaringan separuh masa kedua membantu pasukannya mengejutkan Jerman 1-0 dalam aksi Liga Negara-Negara pada awal pagi Isnin.
Kourbelis, yang masuk sebagai pemain gantian, meledak gol kemenangan menerusi rembatan yang terbias sebelum menerjah gawang Jerman sekali gus memberikan tamparan buat pengendali baharu mereka, Jurgen Klopp.
Kekalahan itu menyaksikan Klopp masih terpaksa menunggu kemenangan sulungnya bersama skuad kebangsaan Jerman selepas sebelum ini membimbing pasukan seri 1-1 dengan Belanda pada Khamis.
Bekas pengendali Liverpool dan Borussia Dortmund itu melakukan lima perubahan dalam kesebelasan utama dalam usaha memberi peluang kepada lebih ramai pemain membuktikan kemampuan mereka.
Jerman menguasai sebahagian besar permainan, malah pemain tengah Bambase Conte mencuri perhatian menerusi aksi sulungnya bersama skuad kebangsaan.
Namun, penguasaan tersebut gagal diterjemahkan kepada ancaman serius di hadapan gawang Greece yang dikawal Konstantinos Tzolakis.
Greece pula tampil lebih berkesan dan memanfaatkan peluang yang ada apabila Kourbelis mencetuskan kejutan menerusi jaringan selepas rehat.
Klopp mengakui kekalahan itu bukan sesuatu yang terlalu merisaukannya, biarpun keputusan tersebut menangguhkan lagi hasratnya untuk mencatat kemenangan pertama bersama Jerman.
"Secara peribadi, saya langsung tidak terganggu dengan perkara itu. Saya sudah kalah jauh lebih banyak perlawanan sepanjang hidup saya berbanding apa yang saya mahukan," katanya kepada ARD.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
