Pemandu jengkaut lemas, jentera terbalik di Tasik Bera

KUANTAN - Seorang pemandu jengkaut ditemukan lemas, manakala seorang lagi selamat selepas jentera berat yang dikendalikan mereka terbalik ketika menjalankan kerja pembersihan di Tasik Bera, Bera pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa berusia 26 tahun ditemui terperangkap dalam kabin pemandu.

Menurutnya, pihaknya membuka pintu sebelum mangsa berjaya ditarik keluar jam 4.10 petang.
"Lelaki itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa naik ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba ke lokasi.
"Seorang lagi mangsa berusia 28 tahun selamat apabila berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian," katanya.

Mohd Salahuddin berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 2.11 petang sebelum sepasukan anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Anggota bersama jentera tiba di lokasi jam 2.56 petang dan didapati terdapat sebuah jengkaut terbalik semasa kerja-kerja pembersihan tasik melibatkan dua mangsa dengan seorang daripadanya dikhuatiri lemas.
"Pencarian di peringkat awal dibuat menggunakan bot di sekitar kawasan jengkaut terbalik sebelum mangsa berjaya ditemui dan dibawa naik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

