Alasan mahu berehat selepas jalan-jalan, duda dan janda dicekup berkhalwat di hotel

PONTIAN - Seorang duda dan janda yang mendakwa hanya mahu berehat serta berbual selepas berjalan-jalan sekitar Benut di sini dicekup berkhalwat di sebuah hotel pada Ahad.
Pasangan berusia 30-an dan 40-an itu ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi operasi di hotel berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.
JAINJ menerusi kenyataan berkata, pemeriksaan dilakukan selepas anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan memberi salam beberapa kali sebelum pintu dibuka kira-kira enam minit kemudian.
“Pintu dibuka oleh seorang lelaki yang hanya memakai seluar panjang dan baju kemeja-T sebelum mendapati seorang wanita berpakaian seluar jean dan baju kemeja-T sedang duduk di atas katil dalam bilik berkenaan,” katanya.
Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit bukan suami isteri, sebaliknya masing-masing berstatus duda dan janda.
Menurut JAINJ, lelaki berkenaan yang bekerja dan menetap di Batu Pahat dikatakan datang ke daerah itu sebelum menyewa bilik hotel berkenaan.
“Pasangan terbabit mendakwa sudah lama hidup bersendirian dan merancang untuk berkahwin,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, pasangan berkenaan merancang mendirikan rumah tangga tahun depan dan kini sedang berusaha mengumpul wang.
Bagaimanapun, alasan berkenaan tidak menghalang pasangan itu daripada ditahan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
