Penunggang Yamaha Y15ZR maut nahas tiga motosikal

Tangkap layar video tular kemalangan membabitkan tiga motosikal berhampiran Terminal Sentral Kuantan (TSK), Jalan Pintasan Kuantan awal pagi Ahad.
Tangkap layar video tular kemalangan membabitkan tiga motosikal berhampiran Terminal Sentral Kuantan (TSK), Jalan Pintasan Kuantan awal pagi Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penunggang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal berhampiran Terminal Sentral Kuantan (TSK), Jalan Pintasan Kuantan di sini, awal pagi Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.35 pagi itu, mangsa, lelaki tempatan berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bergerak lurus dari arah Jalan Sultan Abdullah menghala ke Semambu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua motosikal lain yang turut berada di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Terdahulu video kejadian tular selepas dimuat naik di platform media sosial.

Ashari berkata, dua lagi penunggang yang terlibat dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung dua lagi penunggang dan motosikal yang terlibat kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 011-30451140 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!