Maut diseret, tercampak di bahu jalan

Motosikal mangsa remuk teruk dalam kejadian itu.
Motosikal mangsa remuk teruk dalam kejadian itu.
A
A
A
SABAK BERNAM - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Lama Kuala Selangor, Panchang Bedena di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8. 21 malam itu, mangsa, Mohd Khalid Mohd Isa, 28, yang menunggang motosikal Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa dari arah Sungai Besar menuju ke Sabak Bernam dipercayai cuba memotong sebuah kereta jenis Honda yang berada di hadapannya.

“Bagaimanapun, mangsa yang cuba memotong, terlanggar bahagian sisi kanan kereta terbabit lalu gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudiannya bertembung dari arah depan dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z sebelum sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang Yamaha terbabit tidak sempat mengelak lalu mengheret mangsa hingga tercampak ke bahu jalan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

“Manakala penunggang motosikal Yamaha mengalami patah bahagian lengan kiri dan paha sebelah kanan dan pembonceng pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka yang berusia 17 tahun itu menerima rawatan susulan di hospital sama.

“Dua pemandu kereta berasingan masing-masing berusia 20 dan 26 tahun tidak cedera dalam kejadian kes yang dikendalikan pegawai penyiasat, Inspektor Roziana Wahidon mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.