Thailand akui 'The Golden Tigers' sempurna

Libasan padu Azlan yang menyukarkan pemain Thailand menampan dengan kemas. Foto: FB MSN
Libasan padu Azlan yang menyukarkan pemain Thailand menampan dengan kemas. Foto: FB MSN
A
A
A

MALAYSIA menguasai hampir segenap aspek permainan ketika menewaskan Thailand untuk meraih pingat emas acara berpasukan sepak takraw Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 semalam.

Pengurus pasukan Thailand, Kamol Tankimhong mengakui anak buahnya gagal menandingi permainan Malaysia, terutama dalam melakukan servis gugur, membuka bola, mengumpan dan melakukan serangan.

“Semua (aspek). Sistem permainan daripada servis, membuka bola, mengumpan hingga menyerang, hari ini (Jumaat) kami jatuh dalam semua perkara. Tidak perlu cari alasan,” katanya dalam temu bual video yang dipetik daripada laman sosial sepak takraw berpengaruh Thailand.

Kamol, 72, kemudian memohon maaf kepada peminat sepak takraw Thailand selepas pasukannya gagal menyumbangkan pingat emas dalam acara berkenaan.

“Saya memohon maaf kepada semua. Pasukan sepak takraw Thailand tidak berjaya menyumbangkan pingat emas dalam acara berpasukan.

“Minta maaf kepada semua yang memberikan sokongan, sama ada yang berada di Thailand mahupun yang sudi hadir ke mari. Saya betul-betul minta maaf,” katanya.

Kamol (belakang, empat dari kiri) memohon maaf kepada peminat susulan kegagalan Thailand menyumbang pingat emas buat skuad Gajah Perang. Foto: FB TAT
Kamol (belakang, empat dari kiri) memohon maaf kepada peminat susulan kegagalan Thailand menyumbang pingat emas buat skuad Gajah Perang. Foto: FB TAT

Menurutnya, Malaysia turut cemerlang menghasilkan bola gugur, libasan pantas dan bola ke belakang gelanggang sebelum pantas kembali ke posisi untuk menyelesaikan setiap situasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Thailand sebenarnya mengetahui corak permainan Malaysia, namun gagal melaksanakan gerakan yang dirancang apabila berdepan tekanan lawan.

“Kita nampak, tetapi kita tidak mampu melakukannya. Bila kita cuba menghadang, bola jadi tersasar. Ketika membuka bola pula, ia meliar dan tidak masuk ke titik umpanan yang betul.

“Bila cuba menyerang semula, kena hadang pula. Sebab itu kutipan mata kami jadi tersekat-sekat,” katanya.

Skuad The Golden Tigers membuka tirai kejayaan menerusi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam yang menewaskan Pornthep Tinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon 15-9, 5-15, 15-11.

Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi kemudian melengkapkan kemenangan selepas menundukkan Kritsanapong Nontakote, Poottipong Pukdee, Tanaphon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor 15-13, 15-10.

Kamol yang pernah membimbing Thailand meraih emas acara berpasukan, antara regu, beregu dan beregu berpasukan dari Bangkok 1998 hingga Hangzhou 2023 berkata, kekalahan itu bukan kerana mereka gagal mengetahui permainan Malaysia.

“Pemain kami sudah tahu kerana sudah biasa bermain dan pernah berdepan. Siapa yang mampu mengubah dan menyesuaikan permainan dengan lebih baik, dialah yang menang,” katanya.

Para pemain meraikan kejayaan The Golden Tigers menjuarai acara regu berpasukan selepas menumpaskan Thailand 2-0 dalam aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya. Foto: Bernama
Para pemain meraikan kejayaan The Golden Tigers menjuarai acara regu berpasukan selepas menumpaskan Thailand 2-0 dalam aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya. Foto: Bernama

Thailand yang juga juara bertahan di Hangzhou 2023 kini mengalihkan tumpuan kepada acara antara regu yang bermula esok dan mereka berada dalam Kumpulan A bersama Filipina dan Jepun.

Malaysia pula dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar, dengan Kamol mahu anak buahnya mengekalkan keyakinan untuk memburu semula emas.

“Kalau berpasukan kami tidak dapat, kami kena ambil balik (emas) dalam acara antara regu. Kami mesti yakin apabila berdepan dengan mereka.

“Kami sudah membuat persiapan sejauh ini. Dengan kualiti atlet yang ada, keyakinan mesti sepadan dengan tempoh persiapan yang sudah diluangkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!