Tiada siapa mahu digelar penderhaka

Krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini menyebabkan ramai yang keliru kerana terdapat banyak versi dan interpretasi masing-masing tentang undang-undang adat di negeri tersebut.
Krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini menyebabkan ramai yang keliru kerana terdapat banyak versi dan interpretasi masing-masing tentang undang-undang adat di negeri tersebut.
A
A
A

DALAM sejarah Malaysia, kita pernah berhadapan dengan krisis perlembagaan pada tahun 1983, apabila Kerajaan Persekutuan mencadangkan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Namun ia selesai selepas perbincangan dan kompromi berjaya dicapai antara kerajaan dan Raja-Raja Melayu yang membolehkan pindaan tersebut diluluskan bagi melicinkan proses perundangan negara.

Sembilan tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1992 berlaku krisis perlembagaan kedua yang melibatkan isu imuniti undang-undang Raja-Raja Melayu susulan beberapa insiden.

Ekoran daripada itu, pada tahun 1993, Parlimen meluluskan pindaan perlembagaan yang membolehkan Raja-Raja Melayu didakwa di Mahkamah Khas Raus/Raja sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Pada tahun 2010 pula, muncul krisis melibatkan kerabat diraja Kelantan susulan kemelut kesihatan dan pentadbiran istana melibatkan Sultan Ismail Petra, perebutan pengaruh antara ahli kerabat serta persoalan mengenai pengurusan istana dan hak ziarah.

Pertikaian itu dibawa ke mahkamah menerusi proses perundangan bagi menentukan hak dan kebajikan baginda serta menyelesaikan kemelut pentadbiran istana pada ketika itu.

Dan pada tahun 2026, seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.

Situasi yang berlaku kini amat rumit untuk diselesaikan kerana Negeri Sembilan mempunyai keunikan yang tersendiri kerana negeri itu bersendikan Adat Perpatih yang sudah digunakan sejak ratusan tahun dahulu lagi.

Adat Perpatih bermula di Minangkabau, Sumatera dan dibawa masuk ke Tanah Melayu sekitar abad ke-14 hingga ke-15 dan masih kuat dipegang hingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan adat begitu kuat dan orang luar juga tidak boleh mencampuri urusan adat di Negeri Sembilan termasuk urusan melibatkan antara satu Undang dengan Undang yang lain.

Keunikan Adat Perpatih ialah seseorang pemimpin yang dipilih mestilah daripada peringkat bawah hingga ke atas iaitu bermula dari Perut yang memilih Buapak, hingga kepada Suku yang memilih Lembaga dan seterusnya Luak bagi memilih Undang Yang Empat.

Akhir sekali ialah Undang Yang Empat iaitu Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol dan Undang Rembau yang akan memilih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Yamtuan).

Namun krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini menyebabkan ramai yang keliru kerana terdapat banyak versi dan interpretasi masing-masing tentang undang-undang adat di negeri tersebut.

Kerajaan Negeri Sembilan yang baru sahaja dibentuk selepas pilihan raya baru-baru ini nampaknya tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan oleh krisis yang sedang berlaku.

Seperti biasa, perdebatan hangat berlaku di media sosial dengan ada yang memilih untuk menyokong pihak-pihak yang sedang bertelagah.

Masing-masing pula saling tuduh-menuduh antara satu sama lain sebagai penderhaka - gelaran yang amat sensitif terutama dalam kalangan orang-orang Melayu.

Ini kerana bagi orang Melayu, perbuatan menderhaka kepada raja dan sultan yang berdaulat serta sah adalah satu perbuatan yang amat serius dan boleh dikenakan tindakan.

Dalam hal ini, tiada siapa yang mahu menjadi penderhaka sebaliknya mahu krisis yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

Satu jalan penyelesaian yang boleh diambil pada waktu ini hanyalah menerusi mahkamah - walaupun mungkin ia akan mengambil masa yang panjang.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!