Yakult Malaysia terima kelulusan akuan fungsi baharu Shirota strain

YAKULT Malaysia mengumumkan satu pencapaian penting dalam penyelidikan saintifiknya di negara ini apabila menerima kelulusan akuan fungsi baharu yang mengiktiraf peranan strain Lacticaseibacillus Paracasei Shirota dalam 'Membantu Menyokong Tindak Balas Imun'.
Akuan fungsi baharu yang diluluskan itu mengukuhkan lagi nilai saintifik Shirota strain, sekali gus melengkapkan fokus pihaknya dalam menggalakkan pengambilan probiotik setiap hari demi kesihatan usus.
Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase berkata, Shirota strain menjadi teras kepada penyelidikan saintifik dan pembangunan produk jenama berkenaan selama lebih 90 tahun.
"Dipilih oleh Dr Minoru Shirota kerana keupayaannya bertahan melalui sistem pencernaan dan sampai kepada usus dalam keadaan hidup, Shirota strain dikaji secara meluas bagi memahami peranannya dalam mengekalkan fungsi usus.
"Dengan kelulusan akuan fungsi baharu ini, Yakult Malaysia akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan usus dan kaitannya dengan tindak balas imun semula jadi badan terhadap ancaman kesihatan.
“Kami amat berbesar hati menerima kelulusan bagi akuan fungsi baharu ‘Membantu Menyokong Tindak Balas Imun’ untuk Shirota strain. Kelulusan ini membolehkan kami menerangkan lebih lanjut peranan Shirota strain dalam membantu menyokong tindak balas imun, sekali gus mendidik pengguna memahami manfaat probiotik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hiroki dalam masa sama berharap akuan fungsi baharu itu dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengenali sains di sebalik probiotik di samping membuat pilihan tepat sebagai sebahagian amalan penjagaan kesihatan harian.
”Yakult Malaysia terus komited dalam menggalakkan pengguna menjadikan probiotik sebagai sebahagian daripada gaya hidup seimbang dan sihat.
"Setiap botol Yakult mengandungi lebih daripada 30 bilion bakteria hidup Shirota strain, selaras komitmen jangka panjang syarikat dalam menyokong kesihatan usus melalui pengambilan probiotik setiap hari," ujar beliau.
Produk Yakult dikilangkan di Seremban, Negeri Sembilan dan boleh didapati dalam dua pilihan iaitu Yakult Ace dan Yakult Ace Light.
Kedua-dua produk tersebut mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
