Pusat kecantikan estetik warga asing diserbu

SHAH ALAM – Kegiatan menawarkan perkhidmatan kecantikan dan rawatan estetik kepada warga tempatan dan warga asing menerusi media sosial terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan serbuan di beberapa lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur pada Rabu.
Operasi khas yang bermula kira-kira jam 12.15 tengah hari itu dijalankan di sebuah premis di Jalan Uranus, Shah Alam, selain satu lokasi di Pandan Perdana dan dua lokasi di Kepong, Kuala Lumpur.
JIM dalam satu kenyataan memaklumkan operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, seramai tujuh warga Indonesia yang terdiri daripada seorang lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki bekerja sebagai juruterapi kecantikan.

“Pasukan operasi turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan dan kecantikan serta sebuah telefon bimbit.
“Turut disita wang tunai berjumlah RM400 yang dipercayai hasil daripada aktiviti berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
JIM berkata, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan kecantikan dan estetik kepada warga tempatan serta warga asing, khususnya warga Indonesia yang menetap di Lembah Klang.
Aktiviti tersebut dipromosikan menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Instagram, dengan pelanggan dikehendaki membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Selain itu, aktiviti ini dijalankan di premis kediaman yang disewa bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Warga asing yang ditahan dipercayai mempelajari kaedah rawatan estetik di negara asal dan juga ketika berada di Malaysia,” katanya.
Menurut JIM, kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu dan mampu menjana pendapatan sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah pelanggan serta jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
Dalam operasi itu, dua wanita dan seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, tiga wanita ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama, manakala seorang lagi wanita ditahan kerana disyaki melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM turut memaklumkan bahawa individu yang ditahan akan disiasat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana memiliki produk yang tidak berdaftar dengan KKM.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

