28 petinju bertarung rebut 14 tali pinggang dalam Kuda Merah Super Championship

SEBANYAK 14 tali pinggang kejuaraan bakal menjadi rebutan 28 petinju dalam Kejohanan Kuda Merah International Muaythai Challenge 2026 ‘Super Championship’ yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 26 dan 27 September ini.
Antara tarikan utama kejohanan itu ialah perebutan tali pinggang CTDK SimplySiti yang dipertandingkan buat julung kali dalam kategori lelaki, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam penganjuran Kuda Merah.
Kejohanan yang bermula dari jam 8.30 malam hingga tengah malam itu turut menyaksikan penyertaan petarung antarabangsa dari Bangladesh, Myanmar dan Filipina yang bakal mencabar petinju tempatan dalam 14 perlawanan.
Wakil Myanmar, Victor Kim dijadualkan berdepan Dato Fu bagi merebut tali pinggang CTDK SimplySiti, manakala Carlton Cardoba dari Filipina turut dijangka mencuri tumpuan peminat sukan Muaythai.
Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, kejohanan kali ini lebih menarik kerana membabitkan beberapa perlawanan timbal balik antara petinju yang pernah bertemu sebelum ini.
“Petinju yang tewas sebelum ini diberi peluang mencabar semula lawan yang pernah menewaskan mereka dalam kejohanan terdahulu,” katanya pada sidang akhbar kejohanan tersebut di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, sebanyak tujuh perlawanan akan berlangsung setiap malam dengan aksi kemuncak pada perlawanan ketujuh yang menampilkan petarung-petarung sedang meningkat naik.
Menurut beliau, kesemua 28 petinju yang dipilih memiliki rekod prestasi dan pengalaman dalam kejohanan terdahulu.
“Peserta dibahagikan kepada Gred A, B dan C mengikut jumlah perlawanan yang pernah disertai.
“Kesemua perlawanan menggunakan format profesional melibatkan tiga pusingan dengan sistem pungutan mata,” katanya.
Penganjur menyasarkan kehadiran antara 3,000 hingga 5,000 penonton pada setiap malam kejohanan.
Tiket dijual pada harga RM25 untuk satu malam dan boleh diperoleh secara dalam talian menerusi Ticket2U, ejen jualan sah atau di kaunter Stadium Titiwangsa pada hari kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
