Dendam EPL Haaland, Gabriel berterusan di Piala Dunia

PERSETERUAN panas antara Erling Haaland dan Gabriel Magalhaes yang telah mewarnai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selama beberapa musim kini memasuki babak baharu, apabila Norway dan Brazil bertemu pada aksi pusingan 16 Piala Dunia awal pagi Isnin depan (4 pagi waktu Malaysia).
Haaland dan Gabriel sebelum ini mencetuskan pelbagai insiden panas ketika masing-masing menyarung jersi Manchester City dan Arsenal.
Antara insiden paling diingati berlaku pada September 2024 apabila Haaland membaling bola ke arah Gabriel selepas Manchester City menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan yang berkesudahan 2-2 di Stadium Etihad.
Dalam pertemuan timbal balik musim 2024/25 pula, Gabriel mencuri perhatian apabila meraikan kemenangan 5-1 Arsenal dengan menjerit penuh bersemangat di hadapan Haaland sejurus wisel penamat.
Ketegangan antara kedua-dua pemain itu berterusan apabila dalam aksi terakhir mereka pada April tahun ini, Gabriel hampir dilayangkan kad merah selepas cubaan untuk menanduk Haaland dalam satu insiden panas di atas padang.
Haaland bagaimanapun tidak menjatuhkan badan walaupun berlaku sentuhan, sekali gus menyaksikan pertahanan Brazil itu terlepas daripada hukuman pengadil dalam perlawanan berkenaan.
Kini, semua episod tersebut kembali menjadi tumpuan apabila Norway dan Brazil bertemu dalam aksi berprofil tinggi di Stadium New York New Jersey.
Setakat ini, Haaland telah menyumbat lima gol dalam tiga penampilan dalam kesebelasan utama Norway di Piala Dunia.
Bagi Gabriel pula, pertahanan kental itu tampil dalam skuad utama di kesemua empat perlawanan Brazil dengan mencipta satu bantuan gol ketika menentang Jepun di pusingan kalah mati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
