Tiga ditahan disyaki isi 200 liter diesel tanpa permit

KUANTAN -Tiga lelaki ditahan kerana disyaki melakukan pengisian minyak diesel tanpa dokumen atau permit yang sah di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing di sini pada Isnin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, susulan penahanan individu terbabit, pihaknya menyita kira-kira 200 liter minyak diesel, 10 tong minyak dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang digunakan.
Menurutnya, turut dirampas satu kad Fleet, dua resit pembelian minyak diesel serta sampel diesel untuk tujuan siasatan lanjut.
"Keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM81,000.
"Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi membantu siasatan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Jezlily berkata, tangkapan itu dilakukan hasil pemantauan dan pemeriksaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu di stesen minyak berkenaan.
Katanya, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan itu, sepasukan pegawai Penguat Kuasa KPDN mengesan tiga individu terbabit di lokasi dan melakukan pengisian minyak diesel secara berulang ke dalam beberapa tong di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan lanjut, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan pembelian dan pemilikan barang kawalan tersebut.
"Siasatan awal turut mendapati pengisian minyak diesel berkenaan disyaki menggunakan kad Fleet yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pengangkutan," ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang itu.
"KPDN Negeri Pahang akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak diseleweng serta sampai kepada pengguna dan sektor yang sepatutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

