Tular himpit kenderaan, pemandu disaman dan kereta disita

Tangkap layar video tular memaparkan aksi kereta berwarna hitam dipandu lelaki terbabit menghimpit sebuah kenderaan lain di Jalan Pantai Sepat.
Tangkap layar video tular memaparkan aksi kereta berwarna hitam dipandu lelaki terbabit menghimpit sebuah kenderaan lain di Jalan Pantai Sepat.
A
A
A

KUANTAN - Pemandu sebuah kereta dipercayai menghimpit kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Pantai Sepat di sini yang videonya tular di media sosial baru-baru ini telah dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan polis berjaya mengenal pasti pemandu dan kenderaan yang terlibat.

Menurutnya, pemandu berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan dan rakaman percakapan turut diambil.

“Dua notis kesalahan lalu lintas dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.

"Kenderaan terbabit turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan," katanya.

Ashari berkata, polis turut menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat elemen kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa bersabar, mengawal emosi dan mengamalkan sikap bertolak ansur ketika berada di jalan raya.

Katanya, sebarang bentuk provokasi atau tindakan agresif perlu dielakkan kerana ia boleh mengundang kemalangan serta membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Sekiranya berlaku perselisihan di jalan raya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya, utamakan keselamatan dan salurkan maklumat atau rakaman berkaitan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!