Rakyat Malaysia dituduh dalang operasi pengubahan wang haram di Singapura

Chin Hock Khan, yang juga dikenali sebagai "Da Xiang" dipercayai bertanggungjawab melakukan pengubahan wang haram berjumlah sekurang-kurangnya S$500,000 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan dan sumber haram. Foto hiasan
Chin Hock Khan, yang juga dikenali sebagai "Da Xiang" dipercayai bertanggungjawab melakukan pengubahan wang haram berjumlah sekurang-kurangnya S$500,000 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan dan sumber haram. Foto hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun yang dituduh mendalangi operasi pengubahan wang haram di Singapura didakwa di mahkamah pada Rabu.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), Chin Hock Khan, yang juga dikenali sebagai "Da Xiang", didakwa menyelaraskan satu skim penipuan melibatkan individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan serta merekrut rakyat Malaysia untuk menjalankan aktiviti penipuan dan pengubahan wang haram.

Hock Khan didakwa di bawah Seksyen 51 Akta Rasuah, Pemerdagangan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perampasan Hasil Jenayah) 1992 dan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia di Malaysia pada Selasa dan diserahkan kepada SPF pada hari yang sama.

Menurut SPF, siasatan awal mendapati Hock Khan telah bertemu dengan sekurang-kurangnya empat orang 'runner' (penghantar) warga Malaysia beberapa kali di Malaysia untuk memberikan tugasan, menyelaraskan pengeluaran wang melalui ATM, serta membayar upah mereka.

"Atas arahannya, para penghantar membawa barangan emas yang dikutip daripada mangsa penipuan ke Johor Bahru dan menyerahkan barangan itu secara fizikal kepadanya.

"Hock Khan dipercayai bertanggungjawab melakukan pengubahan wang haram berjumlah sekurang-kurangnya S$500,000 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan dan sumber haram,” menurut kenyataan polis pada Selasa.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya mendapati terdapat peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang pergi ke Singapura untuk membantu sindiket penipuan mengutip wang tunai dan barang berharga daripada mangsa.

"Pihak polis memandang serius sebarang penglibatan individu dalam kegiatan penipuan, dan pelaku akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!