Media masih berkampung di hadapan rumah Najib

KUALA LUMPUR - Pengamal media masih berkampung di hadapan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini pada hari keenam bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Tinjauan pada Rabu mendapati pengamal media tempatan dan antarabangsa berada di hadapan kediaman berkenaan sejak jam 8 pagi.
Keadaan cuaca panas terik tidak menghalang petugas media yang terus menunggu sebarang perkembangan baharu atau pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan.
Suasana di sekitar kediaman Najib dilaporkan terkawal dan tenang, dengan kawasan luar rumah itu menjadi tumpuan media sejak Jumaat lalu.
Setakat jam 3 petang, tiada sebarang pergerakan keluar masuk dikesan di kediaman berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam memaklumkan penugasan anggota polis di kawasan berkenaan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah Najib akan memperincikan antaranya aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan selepas surat rasmi berkaitan diterima.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
