RM14.94 juta ‘ditanam’ dalam dinding, lantai rumah

ROM – Pihak berkuasa Itali menemukan wang tunai berjumlah 3.2 juta euro (RM14.94 juta) yang disembunyikan di dalam dinding, lantai dan perabot sebuah apartmen di Naples dalam serbuan yang membawa kepada penahanan 34 individu.
Polis tentera Carabinieri Naples berkata, wang berkenaan ditemukan dalam bentuk ikatan wang kertas 50 euro (RM233) di sebuah kediaman di Caivano ketika serbuan awal pagi Isnin.
Wang tunai itu dibalut dengan plastik dan disusun rapi di bawah jubin lantai serta dinding, selain disembunyikan di dalam laci rahsia pada almari pakaian.
Polis terpaksa membawa keluar wang berkenaan menggunakan baldi plastik sebelum memindahkannya ke dalam kenderaan berperisai.
Pihak berkuasa turut menemukan 11 jam tangan mewah Rolex, senjata serta peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.
Serbuan itu sebahagian daripada operasi selama beberapa bulan yang diketuai Pendakwa Antimafia Naples, Nicola Gratteri.
Menurut Gratteri, pihak berkuasa memperoleh maklumat menerusi pemantauan telefon bimbit yang diseludup masuk kepada anggota kumpulan jenayah yang sedang menjalani hukuman penjara.
“Untuk menunjukkan betapa pentingnya operasi ini, hanya dalam sebuah rumah sahaja kami merampas 3.2 juta euro wang tunai selain jam tangan berharga,” katanya.
Pihak berkuasa berkata, maklumat daripada pemberi maklumat yang memberikan keterangan kepada pendakwa raya sebagai pertukaran untuk perlindungan turut membantu siasatan.
Kesemua 34 individu yang ditahan didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Angelino, sebuah kumpulan jenayah terancang yang didakwa mempunyai pengaruh kuat di Caivano.
Mereka berdepan tuduhan termasuk menyertai pertubuhan jenayah berunsur mafia, pengedaran dadah, pemerasan serta memiliki dadah dengan tujuan untuk mengedarkannya.
Siasatan turut mendedahkan kumpulan berkenaan didakwa beroperasi secara tersusun seperti sebuah perniagaan dengan anggotanya bekerja mengikut syif bagi menjalankan kegiatan termasuk pengedaran dadah dan pemerasan.
Wang tunai yang dirampas akan disalurkan kepada Dana Keadilan Itali yang antara lain digunakan untuk menyokong mangsa jenayah terancang. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

