JUAAK santuni generasi muda melalui kursus azan

SHAH ALAM - Persatuan Jalinan Ukhuwah Anak Anak Kelantan (JUAAK) memperluas penglibatan dalam aktiviti keagamaan dengan menganjurkan kursus azan bagi memberi pendedahan dan bimbingan kepada generasi muda mengenai ilmu serta teknik melaungkan azan.
Presiden JUAAK, Mohd Shukri Yusof berkata, penganjuran program itu merupakan antara usaha persatuan memperluas aktiviti daripada bidang kemasyarakatan dan sosial kepada pengisian keagamaan, pendidikan serta pembangunan generasi muda.

"Melalui program seperti ini, kita berharap peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat selain dapat memperkukuhkan ukhuwah serta mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid dan surau," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau memaklumkan, kursus anjuran bersama Musolla Al Ukhuwah, Teluk Panglima Garang itu dikendalikan oleh bilal Majlis Negeri Selangor, Ustaz Hazizul Mazdin yang berkongsi ilmu, teknik serta panduan berkaitan azan kepada 100 peserta.
Program berkenaan dirasmikan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan program ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

