Baru lampu hijau dua saat, hon macam dunia nak kiamat

Sikap tidak sabar di jalan raya bukan sahaja membuatkan orang lain tertekan, malah boleh mengundang bahaya. Foto hiasan
Sikap tidak sabar di jalan raya bukan sahaja membuatkan orang lain tertekan, malah boleh mengundang bahaya. Foto hiasan
A
A
A

BARU dua saat lampu isyarat bertukar hijau, belum sempat kaki beralih daripada brek ke pedal minyak, sudah kedengaran bunyi hon dari belakang.

Bukan sekali. Kadang-kadang siap dua tiga kali ditekan, seolah-olah pemandu di hadapan sengaja berhenti di situ untuk menikmati pemandangan.

Merak Jalanan percaya ramai pernah melalui situasi sebegini. Lebih-lebih lagi ketika waktu puncak apabila jalan raya sesak dan masing-masing mahu cepat sampai ke destinasi.

Memanglah kalau kereta di hadapan masih tidak bergerak selepas beberapa ketika kerana pemandunya leka bermain telefon, bolehlah diberikan hon pendek sebagai peringatan.

Tetapi kalau lampu baru sahaja bertukar hijau dan hon sudah berbunyi, apa sebenarnya yang dikejar?

Ada juga tidak cukup dengan hon. Kereta di hadapan dipandu perlahan sedikit, terus dipotong secara agresif. Ada yang mencelah tanpa memberikan lampu isyarat, malah sanggup mengekor rapat seolah-olah mahu 'menolak' kereta di hadapan.

Masalahnya, sikap tidak sabar di jalan raya bukan sahaja membuatkan orang lain tertekan, malah boleh mengundang bahaya.

Jalan raya dikongsi bersama. Ada pemandu berpengalaman, ada yang baru mendapat lesen, ada warga emas dan ada juga ibu bapa yang membawa anak kecil.

Bagi Merak Jalanan, tidak salah mahu cepat, tetapi jangan sampai beberapa saat menjadi terlalu berharga sehingga keselamatan dan adab diketepikan.

Artikel Berkaitan:

Jadi, bersabarlah sedikit ketika memandu. Jalan raya bukan litar perlumbaan dan hon pula bukan butang untuk melepaskan geram. Jangan kerana mahu cepat beberapa saat, kita pula menjadi punca orang lain tidak selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!