Populariti Trump merudum

WASHINGTON - Populariti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merosot ke paras terendah sepanjang karier politiknya apabila hanya 32 peratus rakyat negara itu meluluskan prestasinya sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos terbaharu pada minggu lalu, sokongan dalam kalangan anggota Parti Republikan terhadap pentadbiran Trump, 80, berhubung kos sara hidup juga semakin merosot.
Kaji selidik itu turut mendapati kecenderungan pengundi terhadap calon Republikan semakin berubah menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November depan yang akan menentukan parti mana menguasai Kongres bagi tempoh dua tahun akan datang.
Hanya 17 peratus responden dalam tinjauan itu menyatakan mereka berpuas hati dengan cara Trump menangani kos sara hidup yang merupakan isu utama yang akan menentukan undi rakyat Amerika.
Buat pertama kali, lebih separuh anggota Republikan iaitu 51 peratus tidak berpuas hati dengan tindakan Trump menangani kos sara hidup berbanding hanya 44 peratus yang menyokong pendekatannya.
Kadar kelulusan Trump itu juga lebih rendah berbanding pernah direkodkan pendahulunya daripada Parti Demokrat, Joe Biden yang turut berdepan lonjakan inflasi sepanjang tempoh pentadbirannya.
Biden, 83, kemudiannya menarik diri daripada perlumbaan mempertahankan jawatan Presiden selepas prestasi buruk dalam debat menimbulkan persoalan mengenai faktor usia yang dikaitkan dengan keupayaan mental dan fizikalnya. Kadar kelulusan beliau pernah jatuh kepada 35 peratus pada akhir Oktober 2024. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

