‘Donald Trump’ terima layanan istimewa di zoo

DHAKA – Seekor kerbau albino yang digelar ‘Donald Trump’ menerima layanan istimewa di Zoo Nasional Bangladesh apabila pihak pengurusan memasang beberapa kipas khas di kandangnya bagi membantu haiwan itu menghadapi cuaca panas yang sedang melanda negara berkenaan.
Memetik laporan Reuters, kerbau seberat hampir 700 kilogram itu menjadi perhatian ramai kerana memiliki jambul rambut berwarna perang yang dikatakan menyerupai gaya rambut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Populariti luar biasa haiwan tersebut menyebabkan ia kini menjadi antara tarikan utama di Zoo Nasional Bangladesh di Dhaka, dengan ribuan pengunjung hadir setiap hari untuk melihatnya dari dekat.

Menurut pihak zoo, langkah memasang kipas di kandang kerbau berkenaan diambil bagi memastikan haiwan itu berada dalam keadaan selesa ketika suhu meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Seorang penjaga zoo berkata, kerbau tersebut turut diberikan pemantauan rapi termasuk bekalan air yang mencukupi serta penjagaan kesihatan berkala bagi memastikan keadaannya sentiasa baik.
Kisah kerbau itu mula mendapat perhatian selepas gambarnya tular di media sosial menjelang sambutan Aidiladha.
Penampilannya yang unik dengan warna kulit putih serta rambut perang di bahagian kepala menyebabkan ramai menyamakannya dengan Trump.
Pemilik asal haiwan berkenaan, Ziauddin Mridha berkata, nama ‘Donald Trump’ diberikan oleh ahli keluarganya kerana ciri fizikal kerbau itu yang dianggap menyerupai gaya rambut ikonik pemimpin AS tersebut.

Pada asalnya, kerbau berkenaan dijadualkan untuk dijual sebagai haiwan korban sempena Aidiladha.
Namun, popularitinya yang melonjak secara mendadak menyebabkan pihak berkuasa campur tangan sebelum ia dipindahkan ke zoo bagi tujuan pemuliharaan dan pameran awam.
Pihak zoo memaklumkan kerbau albino seperti itu jarang ditemui di Bangladesh, sekali gus menjadikannya haiwan yang mempunyai nilai istimewa dari segi pemuliharaan.
Sejak ditempatkan di zoo, kandang ‘Donald Trump’ sering dipenuhi pengunjung yang mahu merakam gambar dan video, malah ada yang datang dari luar Dhaka semata-mata untuk melihat haiwan tersebut.
Fenomena itu menjadikan kerbau berkenaan bukan sahaja terselamat daripada disembelih, malah kini menikmati kehidupan yang jauh berbeza apabila menerima penjagaan khas serta menjadi antara ‘selebriti’ baharu di Zoo Nasional Bangladesh.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

