Tiada sekatan pelancong Britain keluar dari Malaysia

Penerbangan komersial antara Kuala Lumpur dan London masih ada bagi pelancong yang ingin meninggalkan Malaysia. - Foto 123RF
Penerbangan komersial antara Kuala Lumpur dan London masih ada bagi pelancong yang ingin meninggalkan Malaysia. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sekatan kepada pelancong Britain untuk meninggalkan Malaysia di tengah-tengah wabak Covid-19, penerbangan komersial antara Kuala Lumpur dan London masih ada, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.

Hay berkata, Suruhanjaya Tinggi menasihatkan pelancong Britain di Malaysia untuk pulang ke United Kingdom (UK) memandangkan perjalanan antarabangsa kian sukar.

Tambah beliau, jumlah pelancong Britain di Malaysia berkurangan kepada kurang 200 orang termasuk mereka yang sedang dalam urusan untuk pulang atau menunggu penerbangan sejak pandemik bermula.

"Kerajaan Britain menyewa pesawat khas hanya di negara yang tidak ada cara lain untuk pelancong balik.

"Tiada maklumat setakat ini mengatakan pelancong Britain di sini yang mahu balik ke UK, tetapi tidak dapat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Hay kepada Bernama.

Hay berkata, ada kira-kira 8,000 hingga 10,000 warga Britain tinggal di Malaysia merangkumi pemegang permit kerja, pelajar, dan di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku.

Suruhanjaya Tinggi maklum ada sebahagian mereka yang berada di luar Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia sejak PKP bermula.

"Saya telah mengemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin ketika pertemuan dengan beliau di Putrajaya baru-baru ini. Saya berharap mereka dapat balik semula tidak lama lagi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: