Audi dipandu lawan arus, pemandu dipercayai tertidur

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan dipercayai tertidur ketika memandu kereta jenis Audi di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri di sini Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, lelaki terbabit hanya tersedar selepas seorang anggota polis mengetuk tingkap kenderaannya.
Menurutnya, polis mengesan video kejadian yang tular di Facebook kira-kira jam 10.06 malam pada hari kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit yang bekerja sebagai pelayan restoran di sebuah pusat beli-belah dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Mount Austin.
“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertidur ketika berada di dalam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri.
“Seorang anggota polis yang berada berhampiran kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mengetuk tingkap bagi mendapatkan perhatian pemandu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Swie Chait berkata, tindakan anggota terbabit menyebabkan pemandu itu tersedar dalam keadaan cemas sebelum mula memandu secara perlahan-lahan ke hadapan.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan berkenaan kemudian didapati bergerak melawan arus menuju ke arah Jalan Jim Quee.
Beliau berkata, ujian saringan alkohol melalui pernafasan terhadap pemandu terbabit mendapati keputusan negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan diri berada dalam keadaan selamat dan cergas sebelum memandu.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

