RoS diminta segera putuskan aduan Bersatu - Muhyiddin

Muhyiddin ketika ditemui pemberita pada sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Petaling Jaya pada Sabtu.
Muhyiddin ketika ditemui pemberita pada sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat membuat keputusan segera terhadap aduan yang dikemukakan parti itu, bulan lalu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengemukakan lapan perkara utama yang didakwa telah dilanggar oleh Perikatan Nasional (PN).

"Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali telah berjumpa, dipanggil untuk memberikan penjelasan.

"Kita telah kemukakan lapan perkara pokok yang telah pun dilanggar dan tak dihormati oleh pimpinan Perikatan Nasional yang ada sekarang," katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.

Jabatan itu memaklumkan aduan berkenaan yang diterima pada 11 Ogos lalu itu turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa perkara tersebut berlaku berulang kali sehingga mendorong Bersatu membuat aduan rasmi kepada RoS.

"Daripada pertemuan itu kita dapati bahawa peringkat Pendaftaran Pertubuhan mengambil berat kerana ia berlaku berulang kali, dan ini satu perkara yang tak boleh kita ambil mudah.

"Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan RoS, dan diharap dapat membuat keputusan dalam tempoh yang terdekat inilah," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas hubungan dengan Pas, Ahli Parlimen Pagoh itu sekali lagi menegaskan keputusan untuk tidak lagi bekerjasama bukan dibuat oleh Bersatu sebaliknya merupakan pendirian yang dipilih Pas.

"Kita tidak buat keputusan itu. Jadi memang kita dengan Pas setakat hari ini, masih lagi tidak bekerjasama.

"Bukan pilihan Bersatu, itu pilihan Pas," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!