Tiga maut dalam insiden tembakan di sekolah Filipina

Tiga orang maut dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Cotabato Selatan, selatan Filipina pada Jumaat. - FOTO: AFP
Tiga orang maut dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Cotabato Selatan, selatan Filipina pada Jumaat. - FOTO: AFP
A
A
A

MANILA - Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala enam lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Cotabato Selatan, selatan Filipina pada Jumaat, kata Gabenor wilayah itu Reynaldo Tamayo Jr, lapor Xinhua.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan (DSWD) sebelum ini melaporkan enam kematian dan 17 kecederaan dalam insiden itu sebelum menarik balik kenyataan berkenaan.

Tamayo berkata, beliau masih menunggu laporan perkembangan kes daripada polis yang akan dikongsikan kepada orang ramai sebaik sahaja diperoleh.

Menurut siasatan awal, suspek berusia 16 tahun dipercayai antara yang maut selepas menembak diri sendiri. Kejadian berlaku pada 1.18 tengah hari di sebuah sekolah tinggi di Perbandaran Banga, Cotabato Selatan.

Seorang pegawai tempatan berkata, suspek didakwa mengambil senjata api dari sebuah peti besi di rumahnya sebelum duduk bersama rakan-rakannya dan memberitahu mereka supaya pulang kerana "selepas makan tengah hari, saya akan melaksanakan rancangan saya".

Menurut laporan media tempatan, motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala polis mengawal lokasi kejadian dan menjalankan siasatan. Semua kelas di perbandaran itu digantung serta-merta di semua peringkat.

Insiden pada Jumaat itu merupakan kejadian tembakan di sekolah yang ketiga meragut nyawa di negara berkenaan sejak Jun.

Dua insiden tembakan di kampus sebelum ini, masing-masing di Tacloban City pada 22 Jun dan Zamboanga City pada 18 Ogos, mengakibatkan beberapa kematian serta mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan masyarakat. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!