Industri perkapalan janjikan masa depan cerah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

DIANGGARKAN lebih 50,000 kapal dagang beroperasi di lautan pada masa ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan Dewan Perkapalan Antarabangsa sekali gus menunjukkan bahawa industri perkapalan menjanjikan peluang yang cerah untuk diceburi.

Bagi penulis, data itu juga seharusnya memberi dorongan kepada generasi muda khususnya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menerokai bidang perkapalan yang selama ini mungkin 'tidak dipandang' kerana kurangnya pendedahan mengenainya.

Justeru, waktu terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang boleh digunakan lepasan SPM atau setara untuk menggumpul maklumat mengenainya khususnya bagi mereka yang masih buntu untuk memilih bidang bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Remaja tidak boleh tersilap memilih program pengajian kerana ia menentukan laluan kerjaya mereka di masa depan, jadi bidang yang dipilih perlu memenuhi kehendak industri.

Pemilihan bidang yang tepat itu untuk memberi jaminan seterusnya mengelakkan berlaku pengangguran selepas tamat pengajian kerana Malaysia sememangnya mencatatkan kadar pengangguran siswazah yang tinggi.

Sebanyak 60 peratus siswazah dilaporkan menganggur berdasarkan data Kementerian Pendidikan yang diperoleh melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (PKSG) 2018 dan jumlah itu mungkin akan terus meningkat lebih-lebih lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi ketika ini yang ditambah buruk lagi dengan penularan pandemik Covid-19.

Peluang keemasan untuk membina karier dan mencipta nama sebagai seorang peluat perlu direbut pelajar lepasan SPM mengambil kira faktor keperluan industri semasa dalam bidang perkapalan di seluruh dunia.

Saranan agar generasi muda terutama pelajar lepasan SPM menceburi kerjaya sebagai pelaut juga pernah disuarakan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan media pada 3 Julai 2019, Anthony yang ketika itu masih memegang jawatan menteri berkata, permintaan terhadap pelaut semakin meningkat kerana kepesatan ekonomi dunia dan bidang perkapalan merupakan nadi yang menggerakkan barangan ke seluruh dunia.

"Pelaut bukan hanya terdiri daripada kelasi, ia juga terdiri antaranya seperti kapten, jurutera dan juruteknik yang bekerja di atas kapal.

"Perjumpaan saya dengan beberapa syarikat perkapalan antarabangsa yang terkemuka turut mengatakan mereka berminat untuk mengambil pelaut dari Malaysia kerana kefasihan dalam Bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pelaut 2019 di Pelabuhan Klang, Selangor.

Kenyataan itu menjadi bukti bahawa bidang perkapalan menjanjikan karier yang cerah kerana pelaut dari negara ini menjadi buruan syarikat perkapalan terkenal dunia.

Profesion sebagai pelaut juga tidak terhad kepada lelaki sahaja kerana ruang serupa terbuka luas kepada golongan wanita meskipun ketika ini sektor perkapalan didominasi oleh kaum adam dan ia juga selari dengan sasaran kerajaan untuk meramaikan lagi pelaut wanita dalam industri maritim negara iaitu sebanyak 30 peratus pada masa akan datang.

Selepas merasmikan sambutan Hari Pelaut 2019 juga, Anthony berkata, pelaut wanita di negara ini ketika itu menyumbang hanya satu peratus daripada keseluruhan 7,226 pelaut tempatan dan menjadi agenda kerajaan untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang yang selama ini dipelopori lelaki.

Faktor tangga gaji terkini dalam bidang perkapalan juga menjadi sebab utama kenapa pelajar perlu menyambung pengajian dalam sektor tersebut.

Seperti yang diketahui umum, tangga gaji dalam bidang minyak dan gas sememangnya sangat lumayan dan tangga gaji sama juga turut dinikmati pekerja sektor perkapalan sekarang.

Bayangkan gaji minimum sebulan pegawai bawahan di atas kapal seperti pegawai awasan dek atau enjin pun sudah mencecah RM10,000 berdasarkan laporan sebuah akhbar pada 22 Julai 2015, inikan pula bagi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.

Selain itu, pekerja sektor perkapalan juga mempunyai peluang peningkatan kerjaya yang bagus kerana pelbagai jawatan ditawarkan sektor itu serta mereka juga mempunyai peluang cerah untuk mencipta nama di syarikat perkapalan tersohor dunia.

Secara spesifiknya, jenis-jenis kerjaya dalam bidang perkapalan antaranya adalah kelasi, surveyor (juruukur), kapten, juruteknik, jurutera, 'shipping agent' dan banyak lagi.

Bagi yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perkapalan, beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia menawarkan kursus pengajian itu termasuklah Ranaco Education & Training Institute (RETI), Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kursus dalam bidang pelautan yang ditawarkan menjadikan graduan yang dilahirkan kesemua institusi terbabit "laku' di pasaran, umpamanya RETI merekodkan seramai 75 peratus graduannya berjaya memperoleh kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian saban tahun.

* Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Sinar Harian edisi Nasional