Mendepani Era AI: Memperkasa pembelajaran bahasa Arab secara kendiri

DALAM dunia komunikasi yang semakin canggih masa kini, penguasaan bahasa Arab tidak lagi terbatas kepada tujuan keagamaan. Ia semakin diperlukan dalam konteks lain seperti pendidikan, diplomasi, perdagangan, pelancongan dan pasaran pekerjaan antarabangsa.
Faktor globalisasi serta silang budaya turut mendorong lebih ramai penutur bukan asli se[erti di Malaysia mempelajari bahasa Arab. Namun, usaha menguasai bahasa Arab bukanlah suatu proses yang mudah.
Pelajar perlu terlebih dahulu memahami sistem tulisan, tanda baris, sebutan, pembentukan perkataan, kosa kata dan tatabahasanya yang kompleks.
Memahami perbezaan bahasa antara bahasa Arab standard moden yang digunakan secara rasmi dan pelbagai dialek yang digunakan dalam komunikasi harian menjadi kelebihan kepada pelajar yang berhasrat mendalami struktur budaya penutur jatinya iaitu bangsa Arab.
Bagi pelajar Malaysia, cabarannya lebih besar kerana bahasa Arab mempunyai struktur dan sistem bahasa yang berbeza daripada bahasa Melayu.
Kebergantungan sepenuhnya kepada pembelajaran formal pada waktu kuliah tidak mencukupi, sebaliknya ia memerlukan latihan berterusan dan pendedahan kepada bahan dan sumber rujukan autentik di luar kelas.
Dalam situasi ini, kecerdasan buatan atau AI muncul sebagai teknologi yang berpotensi mengubah cara pembelajaran bahasa Arab.
Teknologi ini membolehkan pelajar belajar secara kendiri mengikut tahap penguasaan, keperluan dan kadar pembelajaran masing-masing.
Penggunaan AI juga membolehkan pelajar mengenal pasti kelemahan masing-masing, menyimpan rekod dan seterusnya mencadangkan latihan yang bersesuaian dengan tahap pelajar secara individu.
Dalam pembelajaran formal di institusi pendidikan, guru dan pelajar dikehendaki terlebih dahulu menetapkan matlamat pembelajaran yang ingin dicapai sesuai dengan kurikulum, memilih strategi, memantau dan seterusnya menilai pencapaian secara kendiri.
Pelajar tidak lagi perlu menunggu waktu kuliah atau bergantung sepenuhnya kepada pensyarah, sebaliknya boleh melakukan latihan kemahiran bahasa pada bila-bila masa.
Antara teknologi yang paling popular dalam aspek ini Sistem Tutor Pintar (Intelligent Tutoring Systems, ITS). Sistem ini berfungsi seolah tutor peribadi pelajar untuk meneliti prestasi sebelum mencadangkan aktiviti seterusnya.
Ia juga mampu menilai tahap kesukaran latihan, menyusun urutannya dan memberikan maklum balas mengikut pencapaian pelajar secara automatik.
Pelajar yang lemah dalam kosa kata, contohnya, akan diberikan latihan berbeza daripada pelajar yang menghadapi masalah tatabahasa.
Selain itu, sistem Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (Natural Language Processing, NLP) pula membantu dalam pembelajaran bahasa Arab.
Melalui sistem ini, pelajar boleh mendapat maklum balas pembetulan pantas terhadap kesalahan penggunaan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa yang dilakukan.
Ia juga boleh berfungsi untuk menterjemah atau meringkaskan teks mengikut keperluan pelajar.
Terdapat sistem AI yang khusus untuk pembelajaran kemahiran bertutur iaitu teknologi Pengecaman Pertuturan Automatik (Automatic Speech Recognition, ASR).
Kelebihan sistem AI ini adalah membuat penilaian ketepatan sebutan, kelancaran dan kejelasan percakapan pelajar serta memperbetulkannya.
Pelajar juga boleh mengulangi latihan dan membaiki kelemahan bahasa pada bila-bila masa tanpa berasa malu atau takut di hadapan orang lain.
Kelebihan ini dapat mengurangkan tekanan kepada pelajar untuk melakukan latihan kemahiran pertuturan dengan lebih kerap. Selain itu, sistem AI generatif ***(***Generative AI, GenAI) pula boleh bertindak sebagai ejen perbualan dan mensimulasikan komunikasi sebenar.
Ia seolah boleh menjadi rakan perbualan yang setia dan sentiasa memberi respon terhadap persoalan yang dikemukakan sama ada untuk meminta penjelasan tatabahasa, menghasilkan karangan atau berlatih menghadapi situasi tertentu.
Meskipun AI menawarkan pelbagai kelebihan, ia tidak bermaksud sistem ini sempurna sehingga dapat menjamin penggunanya menguasai kemahiran dan ilmu bahasa Arab.
Hal ini demikian kerana, masih terdapat kesalahan fakta atau penggunaan istilah yang tidak tepat yang dijana AI.
Pelajar perlu dilatih supaya menyemak terlebih dahulu maklumat yang dipaparkan dengan membandingkan dengan sumber asal maklumat dan menilai setiap jawapan yang diberikan melalui perbincangan bersama pensyarah tau guru.
Antara halangan penggunaan AI dalam pembelajaran bahasa di Malaysia adalah tahap kemahiran teknologi dalam kalangan pelajar yang berbeza.
Pelajar yang mahir dalam teknologi mampu memanfaatkan peranti dan aplikasi AI yang digunakan, sebaliknya, mereka yang kurang mahir mungkin menghadapi kesukaran dan akhirnya tercicir.
Dalam keghairahan menggunakan sesuatu teknologi baharu dalam pendidikan, peranan pensyarah atau guru tidak boleh diketepikan sama sekali.
AI seharusnya menjadi alat pembantu pintar dalam proses pembelajaran, bukannya pengganti manusia.
Pensyarah atau guru masih diperlukan untuk memberikan bimbingan dalam penggunaan sistem AI ini seperti tugas memilih bahan yang sesuai, menetapkan hala tuju dan memastikan pembelajaran selaras dengan kurikulum.
Malaysia mempunyai prospek yang besar untuk memanfaatkan AI dalam memperkukuh pendidikan bahasa Arab.
Selain itu, isu prasarana, kos langganan, perlindungan data peribadi dan akses kepada fasiliti juga perlu diberikan perhatian.
Justeru, kejayaannya memerlukan komitmen daripada semua pihak termasuk dalam penyediaan prasarana yang lengkap, latihan peningkatan kemahiran teknologi pendidik dan pelajar serta garis panduan penggunaan AI yang jelas.
Jika aspek teknologi pendidikan dibangunkan secara telus dan peka terhadap keunikan bahasa Arab, AI mampu menjadikan pembelajarannya lebih fleksibel, menarik dan berkesan.
Matlamat akhir penggunaan teknologi dalam pembelajaran bahasa bukan sekadar melahirkan pelajar yang tahu menggunakan teknologi, lebih utama daripada itu, adalah membentuk generasi yang mampu menguasai bahasa, berfikiran kritis dan mempunyai kebolehan untuk terus belajar secara kendiri sepanjang hayat.
*Profesor Madya Dr Zainur Rijal Abdul Razak, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
