Polis gempur kediaman warga asing

Antara warga asing yang ditahan di Bukit Bintang di sini hari ini.
Antara warga asing yang ditahan di Bukit Bintang di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis menggempur kediaman warga asing di sekitar Bukit Bintang di sini hari ini selepas menerima maklumat mengenai warga asing yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Sinar Harian pada jam 5 petang mendapati sebahagian daripada warga asing terbabit sedang berkumpul di kawasan terbuka dan di hadapan kedai di kawasan itu.

Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu dan menahan 20 warga asing di Jalan Angsoka manakala sebahagian lagi ditahan di kawasan Jalan Changkat dan Jalan Berangan.

Kesemua warga asing terbabit dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama pihak polis turut mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tengkat Tong Shin bagi mengesan sebarang kemasukan individu yang melanggar PKP.

Malah pemeriksaan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) turut memeriksa seluruh pelusuk kawasan Bukit Bintang bagi mengesan individu yang ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya kerap melakukan pemeriksaan berkala di lokasi berkenaan setiap hari.

"Warga asing terbabit dapati mengambil kesempatan mengingkari arahan PKP apabila ketiadaan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kita sering mempertingkatkan pemeriksaan dan rondaan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa dan tujuan utama kita adalah untuk mencegah penularan dan penyebaran koronavirus (Covid-19)," katanya.

Mohd Fahmi berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi terhadap sebarang tindakan membabitkan warga asing atau tempatan.

"Sekiranya mereka benar-benar bersalah, mereka akan ditahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mendapati segelintir warga asing yang mengingkari arahan PKP khususnya di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

“Itu sebabnya peratusan tangkapan harian yang membabitkan warga asing sering mencatatkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesan dan menangkap semua warga asing mengingkari arahan PKP, tiada sebarang kelebihan terhadap mereka.

“Rakyat negara ini sanggup melakukan pengorbanan besar dengan duduk di rumah namun segelintir warga asing bebas melanggar undang-undang negara,” katanya.