Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS didorong harga minyak menurun

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Jumaat, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan kebimbangan mengenai bekalan minyak mentah dari Asia Barat yang mereda. Gambar hiasan
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Jumaat, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan kebimbangan mengenai bekalan minyak mentah dari Asia Barat yang mereda. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang utama pada Jumaat, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan kebimbangan mengenai bekalan minyak mentah dari Asia Barat yang mereda, meningkatkan kecenderungan pelabur untuk mengambil risiko.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0955/1015 berbanding dolar AS daripada 4.0965/1010 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran menjadi lebih baik selepas Arab Saudi dilaporkan mula membaik pulih saluran paip Timur-Barat yang mengalami kerosakan manakala pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz berterusan, meredakan kebimbangan mengenai bekalan minyak mentah.

"Oleh itu, harga minyak mentah Brent menurun 0.95 peratus kepada AS$104.82 setong manakala hasil Perbendaharaan AS merosot, dengan nota untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing berkurangan tujuh mata asas kepada 4.67 peratus dan 4.94 peratus.

"Bagaimanapun, perhatian kini beralih kepada keputusan mengenai dasar monetari Bank of Japan (BOJ) hari ini, dengan konsensus menjangka kenaikan kadar dasar sebanyak 25 mata asas kepada 1.25 peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran akan memantau penilaian ekonomi dan sentimen dasar BOJ berikutan pendirian terhadap dasar monetari yang lebih ketat boleh mendorong pengurangan dalam ‘yen carry trade’ dan meningkatkan turun naik dalam pasaran pertukaran asing.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menjangka ringgit kekal dalam jajaran kecil hari ini dan peniaga akan memantau perkembangan penting itu.

Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.7000/7069 daripada 4.7003/7055 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding yen kepada 2.6228/6268 daripada 2.6305/6336 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4704/4784 daripada 5.4877/4937 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2096/2146 daripada 3.2099/2137, bagaimanapun menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3043/3279 daripada 12.2734/2917.

Ringgit kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.53/6.54 dan berbanding rupiah Indonesia kepada 230.7/231.1 semalam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!