Polis ambil keterangan MB Terengganu

Ahmad Samsuri ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini untuk memberikan keterangan. -Foto Polis Terengganu
Ahmad Samsuri ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini untuk memberikan keterangan. -Foto Polis Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesahkan telah mengambil keterangan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar susulan laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin itu.

Ia susulan gambar kunjungan Ahmad Samsuri ke kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said tular di media sosial dan mengundang kecaman pihak-pihak tertentu kerana berada dalam keadaan terlalu hampir dan tidak berjarak satu meter sebagaimana ditetapkan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik ketika dihubungi Sinar Harian berkata, Menteri Besar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang tadi.

"Ya, kita panggil beliau untuk beri keterangan manakala Datuk Seri Ahmad Said dalam proses untuk diambil keterangan.

"Mereka dipanggil kerana kita ada menerima laporan polis terhadap kedua-dua pemimpin itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Sejak semalam, gambar kedua-dua pemimpin itu tular di media sosial kerana didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di dalam gambar berkenaan, mereka dilihat bergambar dengan sekumpulan lelaki dipercayai sukarelawan yang bertugas untuk agihan bantuan kepada rakyat.

Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak kerana didakwa tidak mengikut jarak sebagaimana yang ditetapkan menyebabkan ada warganet yang meminta tindakan juga diambil terhadap mereka.

Artikel Berkaitan: