Inflasi senyap: Cabaran ekonomi semakin dirasai

Antara isu utama yang membimbangkan rakyat ialah kenaikan harga makanan dan minuman. - Gambar hiasan
Antara isu utama yang membimbangkan rakyat ialah kenaikan harga makanan dan minuman. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia semakin kerap mengeluh tentang kos hidup yang meningkat seperti kenaikan harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan pelbagai keperluan lain yang semakin meningkat secara berperingkat, walaupun kerajaan melaporkan kadar inflasi negara dikatakan masih berada di bawah kawalan.

Harga makanan, sewa rumah, pengangkutan, pendidikan dan perkhidmatan harian terus meningkat sedikit demi sedikit sehingga memberi tekanan kepada masyarakat.

Keadaan ini dikenali sebagai “inflasi senyap”, iaitu kenaikan kos hidup yang berlaku secara perlahan tetapi berterusan tanpa disedari sepenuhnya oleh pengguna.

Rakyat kini berdepan dengan kos hidup yang semakin meningkat seperti kenaikan harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan pelbagai keperluan lain yang semakin meningkat secara berperingkat, walaupun kadar inflasi negara dikatakan masih berada di bawah kawalan. Keadaan ini dikenali sebagai “inflasi senyap”.

Inflasi senyap bermaksud kenaikan kos hidup secara perlahan tetapi berterusan dan mengakibatkan pengguna mengalami tekanan yang hebat dalam jangka masa yang panjang.

Rakyat mengalami kesan kenaikan tersebut walaupun ia tidak begitu ketara. Sebagai contoh, perbelanjaan bulanan mereka yang semakin bertambah walaupun jumlah pendapatan masih di takuk lama.

Antara isu utama yang membimbangkan rakyat ialah kenaikan harga makanan dan minuman. Harga barang basah seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan telur sering berubah, manakala harga makanan di restoran dan kedai makan juga semakin mahal. Dalam masa yang sama, pengguna turut berdepan kenaikan caj penghantaran, utiliti dan perkhidmatan digital.

Selain itu, fenomena shrinkflation turut menjadi perhatian pengguna. Keadaan ini berlaku apabila saiz atau kuantiti sesuatu produk dikurangkan tetapi harga jualannya kekal sama.

Walaupun perubahan itu kelihatan kecil, pengguna sebenarnya menerima nilai yang lebih rendah berbanding sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Golongan B40 dan M40 merupakan antara kumpulan yang paling terkesan dengan inflasi senyap.

Ramai dalam kalangan mereka mendapati gaji yang diterima tidak lagi mampu menampung peningkatan kos hidup, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar besar.

Kos sewa rumah, bayaran pengangkutan dan perbelanjaan pendidikan anak-anak terus meningkat dari tahun ke tahun.

Lebih membimbangkan, terdapat rakyat yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian dan menggunakan simpanan bagi menampung kehidupan. Ada juga yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan demi menambah pendapatan keluarga.

Pakar ekonomi berpendapat bahawa statistik inflasi rasmi tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar yang dialami rakyat. Hal ini kerana setiap individu mempunyai corak perbelanjaan berbeza.

Sebagai contoh, keluarga besar lebih terkesan dengan kenaikan harga makanan, manakala golongan muda pula terbeban dengan kos sewa rumah dan pengangkutan.

Dalam menghadapi situasi ini, kerajaan disaran memperkukuh langkah bantuan bersasar bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Kawalan harga barang asas, subsidi yang lebih efektif dan peningkatan peluang pekerjaan berkualiti juga perlu diberi perhatian serius.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kerajaan akan tetap membantu golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan memperkasakan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta intervensi harga.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu lebih bijak mengurus kewangan dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Pendidikan kewangan dan budaya berjimat cermat perlu dipupuk agar rakyat lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Hakikatnya, inflasi senyap bukan sekadar isu ekonomi, tetapi turut memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Jika tidak ditangani dengan baik, tekanan kos hidup boleh menjejaskan kestabilan sosial dan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya, inflasi senyap merupakan cabaran ekonomi yang semakin dirasai oleh rakyat Malaysia.

Walaupun kenaikan harga berlaku secara perlahan, kesannya sangat besar terhadap kehidupan harian masyarakat.

Kuasa beli yang semakin lemah, kos hidup yang tinggi dan pendapatan yang tidak seiring menyebabkan ramai rakyat terus berasa tertekan.

Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan masyarakat perlu bekerjasama bagi menangani isu ini secara berkesan.

Jika langkah yang tepat diambil, kesejahteraan ekonomi rakyat dapat dipertahankan dan kualiti hidup masyarakat akan terus meningkat.

*Profesor Madya Dr. Yaty Sulaiman ialah pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!