Tiga pencuri kabel diberkas, dua positif dadah

KAJANG - Tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di Jalan Reko di sini diberkas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun termasuk seorang warga asing bermula jam 1 tengah hari hingga 4.30 petang itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati dua suspek warga tempatan memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas, termasuk dua kereta.
"Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ujian awal saringan air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum itu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian beberapa lelaki dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel di kawasan lampu isyarat berhampiran Jalan Reko.

Naazron berkata, semakan pihaknya mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi, Isnin sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 6.27 pagi.
"Siasatan awal mendapati pengadu bersama rakannya telah melihat beberapa lelaki dipercayai sedang menarik keluar kabel dari sebuah lubang pembentung.
"Ketika cuba menghalang perbuatan tersebut, beberapa individu berkenaan telah bertindak agresif terhadap pengadu dan rakannya sebelum melarikan diri dari lokasi," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
