Tiga beranak maut dirempuh pemandu positif dadah


KAJANG - Tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah Perodua Aruz yang disyaki dipandu di bawah pengaruh dadah di Jalan Batu 17, Hulu Langat di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian pada jam 7.56 pagi itu membabitkan mangsa seorang mekanik berusia 34 tahun, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat menuju ke Nanding.
"Setiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Aruz dipandu lelaki tempatan dipercayai memasuki laluan motosikal mangsa sebelum berlaku pertembungan dan menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, pemandu berusia 42 tahun terbabit ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi, Khamis bagi mendapatkan permohonan reman.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah selain siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Tambahnya, semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
